KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail menegaskan tindakan segelintir pihak yang menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir dikhuatiri boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.
Menurut Mohd. Khalid, pihaknya berusaha melaksanakan yang terbaik bagi memastikan undang-undang ditegakkan.
“Paling saya khuatir pada ketika ini adalah tindakan segelintir rakyat yang sentiasa inginkan populariti dengan mengeluarkan perkara atau menularkan isu melalui video di laman sosial seperti TikTok dan sebagainya.
“Ini sekali gus memberikan gambaran yang tidak betul mengenai kes yang sedang berjalan seperti kes (kematian) Zara ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.
Mohd. Khalid berkata, tugas pasukan penguat kuasa adalah menjalankan siasatan secara menyeluruh dan menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk menentukan kesalahan mengikut undang-undang.
“Saya berharap supaya masyarakat dapat menerima tindakan yang sudah dibuat oleh pihak polis dalam memastikan ketelusan siasatan dan integriti pegawai PDRM.
“Kita sudahpun mendakwa lima pelajar sekolah berkenaan di Kota Kinabalu, Sabah. Perkara ini kita serahkan kepada pihak mahkamah bagi menentukan kesalahan berlaku yang mungkin perlukan kepada keputusan undang-undang di mahkamah,” katanya.
Kelmarin, lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap pelajar tingkatan satu, Zara, bulan lalu.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah larangan bagi menghalang sebarang maklumat dalam prosiding berkenaan didedahkan kepada umum. – KOSMO! ONLINE