PETALING JAYA – UOB Malaysia menyokong pelancaran Program Nota Jangka Sederhana (MTN) Hijau ASEAN bernilai RM3 bilion oleh FMM House Sdn. Bhd., yang bertujuan menggalakkan pembangunan mampan dalam sektor infrastruktur logistik Malaysia.
Bank tersebut bertindak sebagai Penasihat Utama, Penyusun Utama, Pengurus Utama dan Ejen Kemudahan untuk program berkenaan, sekali gus mengukuhkan komitmennya terhadap pembiayaan hijau dan inovasi dalam pasaran modal.
Hasil daripada siri terbitan di bawah Tranche 1 Program MTN Hijau ASEAN tersebut, yang mempunyai tempoh 15 tahun dengan jumlah saiz terbitan sehingga RM630 juta, akan digunakan untuk membangun tiga hab logistik hijau FMM House di Pulau Indah, Klang.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, langkah tersebut menunjukkan komitmen bersama pihaknya sebagai rakan kongsi yang sehaluan dalam menempa masa depan yang mampan.
“Ia juga merupakan projek hab logistik hijau kedua kami di Selangor berikutan sokongan kami sebelum ini terhadap Global Vision Logistics, pembangunan logistik diperakui hijau yang pertama di Malaysia dan antara yang terbesar di ASEAN.
“Inisiatif ini dibina atas usaha berterusan UOB Malaysia dalam memperkenalkan inovasi dan membangunkan penyelesaian yang berkesan bagi membantu pelanggan dalam usaha penyahkarbonan mereka.
“Melalui Rangka Kerja Kewangan Mampan, kami mengekalkan tumpuan dalam mendayakan perniagaan menerima pakai amalan bertanggungjawab dan beralih kepada infrastruktur rendah karbon yang sedia masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pembangunan logistik FMM House di Pulau Indah akan menampilkan sistem penyimpanan gudang secara automatik yang mempunyai gabungan keluasan lantai kasar kira-kira 1.67 juta kaki persegi dan kapasiti penyimpanan sekitar 218,000 palet.
Pembangunan dengan kemudahan bilik ambien dan sejuk itu memiliki Status Emas yang diperakui di bawah Kepimpinan dalam Tenaga dan Reka Bentuk Alam Sekitar (LEED), sistem penarafan bangunan hijau yang diiktiraf secara global oleh Majlis Bangunan Hijau Amerika Syarikat.
Ia memperlihatkan komitmen FMM House terhadap pembangunan mampan, manakala pembangunannya akan dikendalikan sepenuhnya oleh Storio Sdn. Bhd., pakar dalam penyelesaian pergudangan dan logistik pintar. – KOSMO! ONLINE