fbpx
Anwar (enam kiri) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said (lima kiri) serta delegasi ASEAN bergambar pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

Malaysia pertimbangkan penubuhan Kementerian Undang-undang – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia sedang meneliti cara terbaik untuk memperkukuh struktur perundangannya dengan mempertimbangkan secara serius penubuhan Kementerian Undang-undang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan satu langkah untuk memastikan ekosistem undang-undang nasional lebih tersusun.

“Cara tersebut juga membolehkan Malaysia bekerjasama dengan lebih berkesan bersama rakan serantau dalam memperkasa kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Anwar, dalam semangat pembaharuan ini, ASEAN juga mesti terus melabur dalam bantuan perundangan bersama, memperkukuh mekanisme penyelesaian pertikaian, dan menghadapi cabaran baharu dalam tadbir urus digital serta pengawalseliaan kecerdasan buatan (AI).

“Ini bukanlah reformasi abstrak, tetapi tindakan membina kepercayaan, memastikan ASEAN kekal relevan dan berdaya tahan dalam dunia yang cepat berubah,” ujarnya.

Forum kali ini mengangkat tema ‘Meningkatkan Akses kepada Keadilan dalam Komuniti Ekonomi ASEAN: Merapatkan Kerjasama Undang-Undang untuk Pertumbuhan Inklusif dalam Era Digital’.

Anwar berkata keterangkuman bermaksud undang-undang mesti berkhidmat kepada setiap individu, setiap komuniti, dan setiap generasi kerana keadilan tidak memadai wujud hanya sebagai prinsip, ia mesti dirasai dalam kehidupan rakyat kita.

“Undang-undang mesti memperkasa dan melindungi, bukannya menakut-nakutkan atau mengecualikan. Kelestarian pula bermaksud membina sistem dan institusi perundangan yang mampu bertahan dalam ujian masa.

“Kekuatan sebenar sesebuah kerajaan tidak terletak pada sejauh mana kuasanya, tetapi pada integriti institusinya, keadilan dalam tadbir urus, dan kepercayaan yang diperoleh daripada rakyatnya,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, ketegangan di sempadan Thailand dan Kemboja yang kembali reda apabila kedua-dua pihak bersetuju mengadakan genjatan senjata membuktikan kejayaan Malaysia sebagai pengantara.

Beliau berkata, ini bukan sahaja kejayaan diplomasi, tetapi juga peringatan bahawa meskipun dalam saat-saat genting, ASEAN mampu mengatasi perpecahan dan menegaskan peranannya sebagai penjaga keamanan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI