fbpx
Hishamuddin (dua dari kanan) bersama mangsa (tiga dari kiri) yang selamat kembali ke tanah air dari Kemboja malam ini.

Dipukul, dipaksa ketuk ketampi ratusan kali dan tak diberi makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Seorang lelaki yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini selepas lebih dua bulan terperangkap dan didera di negara itu.

Mangsa berusia 20-an itu diselamatkan hasil usaha Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gaso dengan kerjasama pihak berkuasa Malaysia dan kedutaan di Phnom Penh.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa dipercayai terpedaya dengan tawaran kerja menerusi iklan di media sosial sebelum dijual kepada sindiket di Poipet, sebuah kawasan sempadan Kemboja–Thailand yang kini menjadi tumpuan kumpulan penipuan dalam talian (scammer).

“Mangsa bukan sahaja dipaksa bekerja, malah didera dengan kejam termasuk dibotakkan kepala, dipukul, dipaksa melakukan ketuk ketampi ratusan kali dan tidak diberi makan secukupnya.

“Malah ada rakaman video yang menunjukkan penderaan dilakukan terhadap mangsa dan rakan-rakannya yang gagal mencapai sasaran jualan,” katanya menerusi rakaman video Facebook rasminya malam ini.

Menurut Hishamuddin, selepas keluarga mangsa membuat laporan polis dan menghubungi pihaknya, MHO segera mengatur misi menyelamat diketuai aktivis Azirul Syafiq Sazali dengan bantuan NGO Gaso.

“Syukur mangsa berjaya dibawa keluar dari kem tersebut selepas sindiket menghalaunya dan menyerahkan pasport serta barangan peribadi.

“Malam tadi dia dipindahkan ke Siem Reap dan akhirnya selamat diterbangkan pulang ke tanah air hari ini,” katanya.

Mangsa yang ditemui pula menceritakan penderitaan yang dialami sepanjang hampir dua bulan dikurung di pusat operasi penipuan tersebut.

“Saya dipaksa bekerja lebih 15 jam sehari, tidur hanya empat hingga lima jam, tidak diberi makanan secukupnya dan sering didera secara fizikal. Saya sangat trauma dengan apa yang berlaku, namun bersyukur kerana dapat kembali ke Malaysia dengan selamat,” katanya.

Menurut mangsa, dia pada awalnya ditawarkan pekerjaan sebagai khidmat pelanggan dengan gaji lumayan sebanyak AS$1,500 (RM6,750) sebulan, namun sebaik tiba di Kemboja, tawaran itu bertukar menjadi kerja penipuan dalam talian.

Bapa mangsa pula berterima kasih kepada MHO, Kedutaan Malaysia di Kemboja serta semua pihak yang terlibat dalam menyelamatkan anaknya.

“Saya tidak mahu kejadian ini berulang kepada orang lain. Harap pihak media terus beri kesedaran agar masyarakat berhati-hati dengan tawaran kerja luar negara yang tidak sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN