RANTAU PANJANG – Hasrat 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk dua wanita untuk mencari pekerjaan di sebuah kilang beras di daerah ini tidak kesampaian apabila sebuah bas yang mereka naiki dari Klang, Selangor ditahan di sekat pintas Serongga di sini hari ini.
Kesemua PATI berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an itu diberkas kira-kira pukul 6.30 pagi semasa menaiki bas persiaran tersebut.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, anggota PGA menahan bas tersebut yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun semasa menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati, 34 lelaki dan 2 wanita warga Myanmar berada di dalam bas itu.
“Empat daripada mereka memiliki pasport, namun tiada cop sah untuk memasuki negara ini, manakala seorang lagi mempunyai pasport yang telah tamat tempoh.
“Seramai 31 lagi PATI didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Katanya, siasatan lanjut mendapati, kesemua PATI diambil dari sebuah kilang di Meru, Klang sebelum dibawa untuk bekerja di kilang beras di daerah ini, namun kilang beras tersebut sebenarnya tidak wujud.
“Perkhidmatan bas itu telah dibayar oleh majikan sebanyak RM2,300 melalui transaksi tanpa tunai.
“Kesemua mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Pemandu bas pula ditahan mengikut Seksyen 26(J) Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, manakala kesemua PATI disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE