KAPTEN pasukan Lion City Sailors, Toni Datkovic bertekad untuk mengemudi pasukan bagi memburu tiga mata pada perlawanan pertama Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), esok.
Menurut Datkovic, sasaran itu bukanlah semudah kata kerana merasai pengalaman tewas kepada Harimau Selatan pada aksi persahabatan pada tahun lalu.
“Semua sedia maklum keupayaan JDT sebagai pasukan yang kuat, kita tahu sejauh mana kemampuan mereka. Ini adalah ujian berat buat kami.
“Bagaimanapun, kami tidak boleh selesa dengan satu mata, justeru kami mahu mengutip mata maksimum. Kami tidak boleh meletakkan sasaran yang rendah, dan kami akan berikan aksi terbaik untuk pertemuan ini,” katanya.
Sementara itu, bek JDT, Jon Irazabal berkata, dia menjangkakan satu pertembungan yang sengit setelah pasukan lawan mempunyai jentera serangan yang tajam dan barisan pertahanan yang kental.
Pemain warisan itu berkata, barisan pemain kini semakin serasi dan akan menjadi lebih dalam setiap perlawanan yang akan diharungi.
“Jadi, untuk perlawanan ini, kami perlu berhati-hati dengan jentera serangan Lion City yang diperkuat pemain import. Jadi, pemain perlu memberi tumpuan penuh di atas padang dan tidak boleh melakukan kesilapan,” ujarnya.