MANCHESTER – Bintang Liverpool, Mohamed Salah memahat sejarah tersendiri apabila menjadi pemain pertama merangkul anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain-Pemain Profesional (PFA) buat kali ketiga.
Salah yang pernah memenangi anugerah tersebut bagi edisi 2018 dan 2022 kini sudah mengatasi pemain-pemain legenda Liga Perdana Inggeris (EPL) yang lain seperti Thierry Henry, Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale.
Pemain Mesir itu mengatasi lima calon lain untuk anugerah tersebut, termasuk rakan sepasukan, Alexis Mac Allister, Cole Palmer (Chelsea), Bruno Fernandes (Manchester United), Declan Rice (Arsenal) dan Alexander Isak (Newcastle United).
“Jika tengok pada pencapaian sekarang, saya merupakan seorang pemain yang datang dari Mesir dan berjaya berada di kemuncak dengan anugerah cukup bersejarah ini. Saya sangat bangga,” kata Salah yang menjaringkan 29 gol Liga Perdana musim lalu.
Untuk rekod, pemain berusia 33 tahun itu boleh dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman EPL apabila sudah meledak 187 gol, termasuk satu gol ketika menewaskan Bournemouth 4-2 Sabtu lalu.
Sementara itu, anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan PFA menjadi milik bintang Aston Villa, Morgan Rogers yang mengatasi Liam Delap (Ipswich), Milos Kerkez (Bournemouth), Dean Huijsen (Bournemouth) serta Myles Lewis-SKelly dan Ethan Nwaneri (Arsenal).
Pada masa sama, Salah menolak kenyataan yang menganggap The Reds semakin kuat bagi saingan musim ini selepas membawa masuk ramai pemain baharu selepas kematian tragis menimpa Diogo Jota.
“Saya tidak boleh kata betul ataupun tidak kerana ia cukup rumit. Memang benar kami membawa masuk ramai pemain berbakat tetapi kami masih perlu bantu mereka untuk menyesuaikan diri,” ujarnya. – AGENSI