BUKAN isu baru tetapi topik buli meledak dalam sekelip mata selepas kes kematian seorang pelajar, Zara Qairina Mahathir di sebuah sekolah berasrama di Papar, Sabah.
Kes tersebut ibarat membuka mata banyak pihak yang sebelum ini memandang remeh isu buli di sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Namun, hari ini skop buli itu sudah semakin luas. Bukan sahaja dilakukan secara fizikal tetapi juga menerusi alam maya.
Disangka sifat manusia semakin moden mengikut peredaran zaman, tetapi sebaliknya yang berlaku, semakin hilang perikemanusiaan dalam diri masing-masing.
Perkataan buli, hanya empat huruf tetapi impaknya mampu meragut nyawa mangsanya seperti tiada rasa simpati walau sekelumit dalam diri si pelaku.
Jika melihat statistik, sebanyak 4,994 kes buli telah dilaporkan di sekolah-sekolah seluruh negara pada tahun 2023.
Angka tersebut terus meningkat pada tahun lalu 2024, kepada 5,703 kes yang melibatkan seramai 11,594 pelajar.
Membimbangkan dan menakutkan apatah lagi gejala tersebut berlaku di institusi pendidikan yang sepatutnya menjadi ruang terbaik buat generasi muda menimba ilmu, namun sebaliknya berlaku.
Bukan sahaja pelajar, terdapat segelintir ibu bapa juga turut melahirkan kerisauan untuk menghantar anak ke sekolah terutama jenis berasrama kerana bimbang menjadi mangsa buli.
Lantang bersuara tentang isu buli, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, gejala tersebut bukan isu yang kecil sebaliknya berskala nasional.
“Ini isu mendesak dan merupakan bom jangka di Malaysia khususnya di sekolah-sekolah.
“Data juga menunjukkan peningkatan kes buli meningkat 20 kali ganda daripada tahun 2021 sehingga 2024.
“Paling mencemaskan, buli tersebut bukan sahaja secara mental tetapi melibatkan kecederaan disebabkan keganasan seperti pukul dan tendang,” katanya.
Tambah Syed Saddiq, ramai mangsa buli takut untuk bersuara yang mungkin bimbang berlaku perkara negatif lain termasuk bimbang dipulaukan rakan sebaya dan dibuang sekolah.
Tegasnya, jika kes buli tidak ditangani, gejala negatif tersebut akan terus menular terutama dalam generasi muda hari ini.
“Buli semakin parah dalam sistem pendidikan negara kita.
“Banyak tindakan pencegahan boleh diambil termasuk memasang kamera litar tertutup, melantik kaunselor dan warden yang bagus terutama untuk sekolah berasrama.
“Semua ini perlu direalisasikan agar kes bulu tidak wujud lagi dan jangan reaktif bila ada kejadian buruk sudah berlaku. Jadikan sekolah sebagai institusi yang selamat,” ujarnya.
Pada masa sama, Syed Saddiq yang juga pernah menjadi mangsa buli meminta orang ramai tetap menghormati institusi pendidikan.
“Kita perlu jadikan sekolah sebagai tempat yang selamat dan generasi muda mendapat pendidikan terbaik. Sekolah adalah tempat menimba ilmu untuk berjaya dalam hidup,” katanya.
















