ITULAH yang bermain di fikiran saya sebaik melihat keadaan air sungai di kampung selepas hujan di awal minggu. Sedikit keruh, tapi masih jernih untuk melihat rupa pasir dan batu di dasar. Orang kampung cakap kondisi air sebegini sebagai ‘air tebu’, bermakna ia terbaik untuk pancingan di sungai.
Bagi pemancing yang memburu sebarau, ini adalah waktu keemasan. Bagi saya, ini adalah isyarat untuk turun meranduk.
Saya dibesarkan di sebuah kampung kecil yang tenang, di mana halaman rumah luas menjadi padang permainan, pohon-pohon rendang menjadi peneduh, dan sebatang sungai yang mengalir di hujung kampung menjadi ‘guru’ kehidupan.
Di sinilah saya dan adik belajar memancing serta beraktiviti luar bersama ayah. Dari menajur ikan keli, menangkap ikan seluang sehinggalah mencari pucuk paku untuk dijadikan santapan tengah hari. Namun masa mengubah selera.
Dari pancing dasar, kami beralih kepada teknik mengilat. Dari sekadar cuba-cuba, ia bertukar menjadi obsesi. Sungai kecil ini bukan lagi sekadar tempat mandi dan bermain, tetapi menjadi gelanggang untuk mengasah teknik dan membaca tabiat ikan.
Persiapan trip
Jam di tangan menunjukkan pukul 7 pagi dan kabus masih menyelubungi tebing. Terasa suasana sejuk mencengkam hingga ke tulang kering, tetapi memikirkan ikan sebarau yang sedang menunggu di sebalik batuan jeram sungai itu, langkah kaki diteruskan.
Set pancing ringan, joran berkekuatan 6–12 paun (lb) dengan kekili bergelendung cetek (shallow spool) menjadi pilihan. Sungai sebegini mempunyai arus dan pilihan gewang terutamanya gewang-gewang bersaiz kecil amat penting supaya ia dapat berenang dengan cantik meredah arus sungai.
Oleh itu, saya memilih gewang jenis tenggelam (sinking minnow) saiz 5 sentimeter (sm), berat 7 gram (g). Ia merupakan gewang kegemaran saya di lubuk-lubuk berbatu, berjeram dan berarus laju.
Manakala di kawasan berarus perlahan dan kedalaman dasar di antara tiga hingga empat kaki pula, saya biasanya akan tukar kepada gewang jenis suspending shad minnow dengan berat antara tiga hingga lima gram. Gewang kecil seperti ini licik, ia menyelam pada kedalaman sederhana dan mampu menggoda ikan bersembunyi.

Sambaran pertama
Lubuk pertama sudah berubah bentuk akibat runtuhan tebing.
Arusnya menjadi lebih laju kerana laluannya telah menjadi sempit, itu merupakan satu petanda lokasi ini sangat berpotensi.
Lontaran pertama belum berhasil, tetapi pada lontaran ketiga, gewang saya disambar. Joran melentur, drag berbunyi dan seekor baby sebarau berjaya dinaikkan.
Adik saya tak mahu mengaku kalah, dan tidak lama selepas itu, seekor lagi sebarau bersaiz hampir sama berjaya didaratkan.
Kedua-dua ikan itu kami lepaskan bagi membiarkan ia membesar untuk satu lagi pertarungan di masa hadapan.
Tidak lama kemudian, bunyi drag sekali lagi memecah kesunyian. Joran melentur menahan asakan.
Kali ini, seekor sebarau seberat kira-kira satu kilogram (kg) dengan panjang hampir 40sm timbul di permukaan.
Di lubuk sekecil ini, ada rupanya penghuni kelas A. Kami lepaskan ia semula dengan rasa hormat, melihatnya menghilang ditelan arus.
Pengajaran
Separuh perjalanan, kami tiba di lubuk yang dalam berhampiran sebatang pokok tumbang. Arusnya deras, lokasi sesuai untuk mengilat.
Lontaran pertama gewang tiada sambaran, tetapi lontaran kedua gewang terus disambar rakus, dan tangan saya menggigil menahan asakan.
Namun kegembiraan itu sekejap sahaja, tiba-tiba, tali menjadi kendur. Apabila diperiksa, mata kail tunggal (single hook) pada gewang saya sudah lurus. Ikan sebarau tersebut jelas bukan calang-calang kekuatannya.
Saya terduduk seketika di tengah sungai, rasa kecewa bercampur kagum. Sungai sekecil ini masih menyimpan rahsia dan ikan sebarau yang bertenaga luar biasa. Satu pengajaran besar saya bawa pulang, pemilihan mata kail yang tepat sama pentingnya dengan teknik mengilat.
Hasil bonus
Matahari kian meninggi, memantulkan cahaya berkilauan di permukaan air.
Dalam perjalanan pulang, saya menukar gewang kepada berprofil shad. Ternyata percaturan menjadi, dua lagi sambaran bonus berjaya diperolehi di satu lubuk dalam.
Bagi saya, memancing bukan sekadar mencari ikan. Ia tentang menghirup udara segar pagi di hutan, merasai deruan arus di kaki, dan menikmati simfoni alam yang tidak akan didengari di bandar.
Setiap lontaran gewang membawa satu harapan bahawa generasi akan datang juga dapat merasai tarikan padu sang raja arus, sama seperti saya sejak kecil.
Saya berasa amat berpuas hati, walaupun hasil keseluruhan tidak banyak. Namun, nilainya dari segi pengalaman dan ilmu sangat mahal.














