PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan jumlah aset rasuah yang berjaya dirampas setakat ini dianggarkan bernilai RM31 bilion.
Menerusi satu hantaran di Instagram rasmi @sprmmalaysia, jumlah itu disifatkan sangat besar dan mampu digunakan untuk pelbagai keperluan rakyat.
Antara yang boleh dilakukan dengan nilai tersebut termasuk membina 58,431 unit Rumah Mesra Rakyat, 71 buah sekolah, 158 klinik kesihatan serta menaik taraf jalan di kampung dan desa sejauh 4,024 kilometer.
“Rasuah bukan sahaja mencuri wang negara tetapi juga meragut peluang rakyat untuk hidup lebih selesa,” ujarnya.
Menurut SPRM, maklumat itu diperoleh berdasarkan purata anggaran nilai kos projek kerajaan yang dilaksanakan pada tahun 2024. – KOSMO! ONLINE.