KELEBIHAN dua jaringan hasil kemenangan 3-1 ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) pada aksi Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi belum boleh dianggap keputusan selesa oleh Kelantan The Real Warriors (KTRW).
Bagaimanapun pengendalinya, E. Elavarasan berkata, kemenangan tersebut tetap dianggap penting kerana ia boleh menjadi suntikan motivasi untuk meningkatkan keyakinan barisan pemainnya.
“Biasanya dalam saingan Piala FA, berapa pun jaringan dihasilkan, kita tetapi tidak akan selesa kerana ada perlawanan timbal balas. Namun, kita raikan kemenangan malam ini (malam tadi) kerana sekurang-kurangnya ia mampu meningkatkan keyakinan pemain.
“Semua pemain telah berusaha dan bekerja keras serta lebih berkeyakinan untuk menguasai bola dan bermain hantaran pendek,” katanya.
Mengulas situasi yang menghadiahkan sepakan penalti kepada KL City pada saat akhir perlawanan, beliau berkata, ia boleh berlaku apabila KTRW mengambil keputusan bertahan demi mengekalkan kelebihan jaringan dimiliki.
Elavarasan memberitahu, selepas ini KTRW akan memberi tumpuan kepada aksi Liga Super apabila dijadualkan untuk berkunjung ke Stadium Likas di Kota Kinabalu, Sabah untuk menentang Sabah FC pada 23 Ogos.