GEORGE TOWN – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian sebatang anak panah terkena pada pintu sebuah kereta di Jalan Macalister di sini, yang sebelum itu tular di media sosial termasuk Facebook.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya hari ini telah terkesan dengan satu video yang memaparkan kejadian berlaku sehingga menarik perhatian masyarakat umum.
Menurutnya, satu laporan polis diterima daripada pemandu kereta iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 57 tahun yang berasal dari Ayer Itam, di sini.
“Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku pada 13 Ogos lalu, kira-kira pukul 3.30 petang, semasa pengadu memandu kereta dalam perjalanan dari Ayer Itam menghala ke Jalan Pangkor.
“Semasa melalui Jalan Macalister, tiba-tiba sebatang anak panah disyaki daripada aktiviti sukan memanah telah terlekat pada pintu kanan bahagian belakang kereta pemandu. Bagaimanapun, pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian ini,” kataya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu lagi, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat dan pihak polis juga telahpun menyemak dengan pihak sekolah yang terlibat.
“Hasil semakan, aktiviti latihan sukan memanah yang diadakan di padang sekolah bersebelahan dengan Jalan Macalister anjuran Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang itu telahpun diberhentikan pada 14 Ogos lalu, setelah kejadian ini dilaporkan.
“Kejadian ini juga telah dilaporkan kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang oleh pihak sekolah,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 30 saat yang memaparkan kejadian sebatang anak panah terkena pada pintu kereta berwarna putih.
Video tersebut telah mendapat pelbagai komen daripada pengguna media sosial termasuk ada yang mendesak supaya pemilik kereta berkenaan membuat laporan kepada polis dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). – KOSMO! ONLINE