PETALING JAYA – Ketua Armada Bersatu, Hilman Idham bakal berhadapan pertuduhan di Mahkamah Majistret Jenayah (7), Jalan Duta, di sini esok berhubung kenyataannya pada Himpunan Solidariti Tolak Akta Hasutan, bulan lalu.
Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid berkata, pendakwaan akan dibuat pada pukul 9 pagi di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574).
Beliau berkata, pertuduhan tersebut berkaitan ucapannya ketika menyertai himpunan aman di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 29 Julai lalu.
“Armada Bersatu mengecam keras tindakan ini yang jelas intimidasi politik yang sengaja dibuat untuk membisukan suara pembangkang.
“Armada juga akan bersolidariti bersama Hilman Idham sepanjang tempoh proses undang-undang sehingga mendapat keadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kes ini juga akan menjadi permulaan dalam proses pemansuhan Akta Hasutan 1948.
Perhimpunan berkenaan diadakan susulan penahanan empat individu selepas demonstrasi Turun Anwar yang ketika ini sedang disiasat di bawah Akta Hasutan.
Terdahulu, media melaporkan Adun Gombak Setia itu telah menerima panggilan daripada Pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas PDRM, Bukit Aman. – KOSMO! ONLINE