fbpx
Zara Qairina.

Lelaki 51 tahun ditahan, manipulasi fakta bedah siasat Zara Qairina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana menyebarkan video palsu berhubung hasil bedah siasat Allahyarham Zara Qairina Mahathir menerusi TikTok @BERJUANGUNTUKZARA.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan pada pukul 10.20 malam semalam.

Katanya, penahanan itu dilakukan selepas pihaknya mengesan satu hantaran video berdurasi dua minit enam saat memaparkan audio perbualan mengenai penemuan hasil bedah siasat Zara Qairina di TikTok.

“Turut dirampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kes ini. Suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati video berjudul ‘Pendedahan Penemuan Bukti Bedah Siasat Zara’ itu mengandungi kenyataan tidak benar termasuk mendakwa kematian pelajar tingkatan satu tersebut sebagai pembunuhan terancang.

Kes tersebut disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Keputusan untuk mengadakan inkues berhubung kematian Zara Qairina telah dimuktamadkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 13 Ogos lalu.

“Justeru, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang sengaja menyebarkan khabar angin atau memanipulasi fakta sehingga mengganggu prosiding mahkamah,” katanya.

Kumar menasihatkan masyarakat agar tidak mudah mempercayai maklumat di media sosial tanpa menentusahkan kesahihannya terlebih dahulu terutama isu keselamatan, keharmonian dan perpaduan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI