MANCHESTER – Aksi pembukaan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim baharu menyaksikan Manchester United menunjukkan peningkat dalam permainan mereka kecuali satu posisi yang dianggap masih belum berubah.
Legenda kelab itu, Paul Parker menggesa pihak pengurusan kelab itu membuat penelitian mengenai prestasi penjaga gol mereka, Andre Onana dan Altay Bayindir serta mempertimbangkan semula mengenai keputusan untuk tidak mendapatkan khidmat Gianluigi Donnarumma.
Menurutnya, United menunjukkan peningkatan positif dari segi corak permainan biarpun tewas berdepan Arsenal kelmarin, namun menganggap punca kekalahan tersebut adalah disebabkan mereka tidak mempunyai penjaga gol yang baik.
United sebelum ini dikaitkan dengan Donnarumma yang sedia dilepaskan oleh Paris Saint-Germain dengan nilai £26 juta (RM148.46 juta), namun permintaan gaji yang tinggi menyebabkan kelab itu menarik diri daripada pemburuan tersebut.
“Jika United pergi mendapatkan Donnarumma atau Emiliano Martinez, ia akan dapat menyelesaikan masalah kelab itu. Mereka adalah penjaga gol yang memiliki gaya klasik era 80-an dengan aksi serta bentuk badan.
“Kedua-dua mereka mampu memberikan impak segera yang berbeza kerana ketika ini United kelihatan goyah setiap kali bola menuju ke gawang mereka. Donnarumma pasti akan menghilangkan perasaan itu daripada peminat,” katanya.
Pendapat tersebut turut dipersetujui oleh bekas kapten United, Wayne Rooney yang menganggap Donnarumma adalah pilihan terbaik dan kelab itu sedang memiliki peluang yang sangat besar mendapatkan khidmatnya.
“Penjaga gol baharu adalah perkara yang utama untuk United. Ketika Roy Carroll dan Tim Howard di posisi itu, pemain pertahanan tidak begitu yakin. Apabila Edwin Van Der Sar tiba, semuanya kembali dalam keadaan baik,” jelasnya. – AGENSI














