PETALING JAYA – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengingatkan orang ramai khususnya pihak media agar tidak mendedahkan identiti lima remaja yang akan didakwa berhubung kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13.
Suhakam berkata, kanak-kanak berhak mendapat perlindungan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] termasuk sokongan berasaskan trauma, khidmat perundangan dan layanan yang adil.
“Nama, gambar, sekolah atau sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengenalan diri mereka tidak boleh didedahkan kepada umum.
“Seksyen 15 Akta 611 akta itu memperuntukkan mana-mana pihak yang menerbitkan maklumat yang boleh mengenal pasti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah boleh dihukum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah mahkamah tertutup di bawah Seksyen 12 dan hanya pihak yang terlibat secara langsung dibenarkan hadir.
Katanya, fokus utama adalah bagi mengelakkan stigma terhadap kanak-kanak terbabit selain menegaskan perbuatan membuli sama ada di sekolah atau platform dalam talian tidak boleh diterima sama sekali.
“Platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok digesa untuk mengemas kini dasar dalaman dan piawaian komuniti mereka bagi mengenal pasti dan memadam secara proaktif apa-apa kandungan yang melanggar Seksyen 15 Akta 611,” ujarnya.
Kata Suhakam, kegagalan bertindak segera boleh menyebabkan mudarat kepada kanak-kanak dan dianggap bersubahat dalam pendedahan yang menyalahi undang-undang.
Semalam, Kosmo! melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memutuskan untuk menuduh lima suspek yang dipercayai terlibat dalam kes buli.
AGC menegaskan keputusan untuk menuduh suspek bagi kesalahan buli itu dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan mengganggu proses inkues yang akan berjalan bulan depan. – KOSMO! ONLINE














