KOTA KINABALU- Peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Hamid Ismail memaklumkan anak guam, Noraidah Lamat dikenal pasti antara saksi bakal dipanggil pada prosiding inkues bermula 3 September bagi mengenal pasti punca kematian pelajar terbabit.
“Semua yang dipanggil polis sebelum ini iaitu guru dan pelajar dari sekolah berkenaan turut dijangka dipanggil sepanjang inkues berlangsung.
“Jika dibenarkan menjadi ‘interested party’, kami boleh menyoal saksi-saksi yang ada. Keluarga (arwah Zara) kalau datang, datanglah tetapi kami memohon ibu.
“Ibu arwah Zara akan datang sebagai saksi yang dipanggil manakala kami akan menyoal,” katanya ditemui media di luar mahkamah selepas selesai prosiding sebutan inkues di Mahkamah Koroner pada Isnin.
Ditanya mengenai saksi-saksi lain yang bakal dipanggil, Hamid memaklumkan pihaknya tidak mengetahui siapa lagi saksi yang akan dipanggil sepanjang kira-kira sebulan inkues itu.
Bagaimanapun, Hamid memaklumian semua yang dipanggil adalah mereka terdiri daripada individu yang dipanggil oleh polis sebelum ini.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dari Jabatan Peguam Negara Putrajaya, TPR Mohd Fairus Johari menyatakan Mahkamah Koroner menyenaraikan seramai 195 saksi pihaknya berhubung inkues terbabit.
Bagaimanapun, jumlah yang dipanggil katanya bakal diteliti semula dan senarai baharu akan dimaklumkan kepada Mahkamah Koroner sebelum inkues bermula pada 3 September depan.
Sementara itu, Hamid menyatakan jumlah saksi yang akan dipanggil sepanjang inkues itu nanti terpulang kepada Jabatan Peguam Negara (AGC). -KOSMO! ONLINE.