KUALA PERLIS – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup 30 kilogram (kg) dadah jenis bunga ganja bernilai RM2.94 juta di kawasan perairan Kuala Perlis, baru-baru ini.
Pengarah JKDM Perlis, Ismail Hashim berkata, kes itu menarik perhatian pihaknya apabila sindiket dikesan menggunakan kaedah baharu dalam pembungkusan bunga ganja.
“Jika sebelum ini dadah jenis ini dimampatkan menjadi ketulan besar, kali ini ia diikat secara longgar dan kelihatan seakan-akan serunding.
“Kaedah pembungkusan ini dipercayai lebih pantas dilakukan bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap bunga ganja di pasaran gelap,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, dalam operasi kira-kira pukul 1 pagi, 7 Ogos lalu itu, sepasukan anggota Kastam Marin membuat pemeriksaan di kawasan beacon (tanda arah suar) putih di perairan pintu masuk Kuala Perlis.
“Hasil pemeriksaan menemui empat guni yang ditinggalkan di atas beacon tersebut. Pemeriksaan lanjut menemukan 146 bungkusan plastik lut sinar kedap udara berisi tumbuhan kering disyaki ganja,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhan rampasan berjumlah 30 kg dengan nilai pasaran dianggarkan sebanyak RM2.94 juta.
Katanya, pemantauan selama sejam di lokasi berkenaan mendapati tiada individu mengambil bahan terlarang itu sebelum ia dibawa pulang ke Pejabat Kastam Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis. -KOSMO! ONLINE.














