KOTA KINABALU – Inkues berhubung kes kematian remaja berusia 13 tahun, Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan diadakan pada bulan September selama 19 hari.
Koroner Azreena Aziz menetapkan tarikh perbicaraan pada 3-4, 8-12, 17-19 dan 22-30 September ketika sebutan kes pada Isnin.
Pegawai pengendali memaklumkan kepada koroner bahawa kira-kira 195 saksi telah dikenal pasti setakat ini walaupun senarai itu mungkin dikurangkan.
Dalam prosiding itu, pasukan guaman Zara memohon untuk terlibat secara langsung dalam inkues dengan memohon hak untuk menyoal balas saksi.
Mereka juga meminta semua dokumen berkaitan diserahkan kepada mereka dengan segera bagi membolehkan persediaan soalan dibuat secukupnya untuk membantu koroner mencapai keputusan. -KOSMO! ONLINE.