SKUAD Kuala Lumpur City (KL City) mahu menjadikan Kelantan The Real Warrior (TRW) sebagai mangsa ‘lepas geram’ menjelang aksi pusingan 16 pertama Piala FA di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu malam ini.
Ketua jurulatih KL City, Risto Vidakovic mengakui pasukannya masih lagi dibelenggu kekecewaan apabila gagal meraih kemenangan pada aksi Liga Super bertemu Sabah, Rabu lalu dan menyeru barisan pemain bangkit buru kemenangan.
Kata Vidakovic, saingan Piala FA jadi salah satu sasaran buat pasukan dalam misi melangkah jauh dan pemain perlu tampil serius sepanjang 90 minit untuk meraih bekalan selesa.
“Saya harap pemain dapat kekalkan taktikal yang kita telah terapkan dalam usaha memburu kemenangan. Sudah tentu kami mahu mendapatkan keputusan yang baik untuk lolos ke pusingan seterusnya.
“Selepas apa yang berlaku ketika bertemu Sabah, kita perlu pulihkan semula semangat selepas dan pandang ke hadapan. Pasukan mempunyai pemain-pemain yang bagus dan berbakat, jadi saya rasa kami boleh pergi jauh pada kejohanan ini,” katanya.
Sementara itu, Vidakovic mengakui Kpah Sherman serta Paulo Josue berkongsi tugas selaku penyerang utama pasukan pada saingan musim ini dan barisan kejurulatihan bakal melakukan penggiliran mengikut kesesuaian taktikal.
“Kedua-dua pemain layak untuk diturunkan terutama Josue kerana dia seorang pemain yang berkualiti. Namun, dia tidak menyertai pramusim bersama kami dan belum cergas sepenuhnya.
“Saya cuba berlaku adil kepada Sherman dan Josue dan kita lihat siapa yang akan diturunkan pada aksi seterusnya nanti,” katanya.