DUNGUN – “Naiklah abang, tolonglah timbul abang, ibu tunggu abang balik. Ya Allah, andai doa seorang ibu tiada hijab, timbulkanlah anakku. Ya Allah, kau perkenankanlah doaku.”
Demikian doa Yusliza Jusoh,45, yang merupakan ibu Nik Zariff Maliqi Qausar Nik Sulaiman,12, yang dikhuatiri lemas selepas mandi bersama empat rakannya di Sungai Dungun berhampiran Kampung Delong, di sini, semalam.
Dalam keadaan sebak, Yusliza dan suaminya, Nik Sulaiman Nik Ismail, 48, dilihat beberapa kali ke tebing sungai dan berdoa untuk ‘memanggil anaknya’.
Yusliza berkata, dia tidak menyangka anak ketiganya daripada lima adik beradik itu akan mandi sungai memandangkan sebelum ini dia dan suaminya kerap melarang keras Nik Zariff berbuat demikian.
“Anak saya mahir berenang kerana saya sering bawa dia mandi di kolam renang. Dia pernah menyatakan hasrat untuk mandi sungai tetapi saya dan suami larang keras kerana arusnya deras.
“Kami tidak pernah bawa anak saya (Nik Zariff) berkelah di mana-mana sungai sebelum ini malah sudah pesan kepada rakan-rakannya agar tidak ajak dia mandi sungai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Terdahulu, Nik Zariff yang merupakan murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Delong dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi bersama empat rakannya pada pukul 5.45 petang kelmarin. – KOSMO! ONLINE