CYBERJAYA – Ops Sohor yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini turut dibantu oleh rangkaian maklumat dikongsi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Baginda juga mahu sindiket penyeludupan dadah yang berpusat di selatan tanah air itu dibanteras.
“Tunku Mahkota Johor sebagai Pemangku Sultan Johor amat bekerjasama dan mahu perkara (sindiket) ini dibanteras.
“Dan banyak juga kita dapat maklumat-maklumat yang kami perolehi daripada hasil networking (jaringan dan rangkaian) maklumat daripada Tunku Mahkota Johor,” katanya selepas menyempurnakan majlis Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (Komawar), di sini hari ini.
Azam berkata, pihaknya juga akan menyiasat lanjut pembabitan sebuah syarikat media yang dikatakan terbabit dalam sindiket berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 30 hingga 55 tahun ditahan di Lembah Klang sejak Rabu lalu bagi membantu siasatan sindiket penyeludupan di selatan tanah air. – KOSMO! ONLINE