MUNICH – Pemain sayap Bayern Munich, Kingsley Coman mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya apabila selepas rasminya berhijrah menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Nassr.
Bayern mengesahkan perpindahan Coman yang menamatkan kariernya hampir sedekad bersama juara Jerman itu dengan rekod 339 penampilan termasuk 72 gol dan 71 bantuan jaringan.
Di Al-Nassr, Coman yang dibeli dengan bayaran perpindahan sekitar €30 juta (RM147.48 juta), akan bergandingan bersama Cristiano Ronaldo, Sadio Mane dan Joao Felix di barisan serangan.
“Kelab ini akan sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya dan saya mendoakan kejayaan berterusan buat Bayern pada musim-musim akan datang. Dari lubuk hati saya, terima kasih.
“Sukar untuk percaya hampir 10 tahun sudah berlalu sejak saya menjadikan Munich sebagai rumah kedua ketika berusia 19 tahun,” kata pemain berusia 29 tahun itu.
Coman tiba di Munich dari Juventus pada 2015 secara pinjaman, sebelum berhijrah secara tetap bersama kelab Jerman itu dengan memenangi sembilan kejuaraan Bundesliga dan tiga Piala Jerman.
Detik paling diingati ialah apabila Coman menjaringkan gol tunggal kemenangan Bayern ke atas bekas kelabnya, Paris Saint-Germain pada final Liga Juara-Juara 2020 di Lisbon.
“King (Coman) akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Bayern dan kami mendoakan kejayaan dalam cabaran baharunya,” kata Pengarah Sukan Bayern, Max Eberl. – AGENSI














