PETALING JAYA – Semangat solidariti rakyat Malaysia buat Zara Qairina Mahathir melangkaui sempadan apabila nama Allahyarham bergema di Anfield, markas keramat Liverpool FC.
Dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris 2025/26 yang menyaksikan Liverpool menang 4-2 ke atas Bournemouth, awal pagi tadi, peminat The Reds dari Malaysia, Joshua Raj, mencuri tumpuan apabila mengangkat plakad bertulis #JusticeForZara #YNWA.
Aksi spontan itu mendapat pelbagai reaksi di media sosial dengan netizen menyifatkan ia sebagai satu penghormatan besar buat pelajar tingkatan satu dari Sabah tersebut.
“Tq (terima kasih) bro Joshua Raj… YNWA! #justiceforzaraQairina,” tulis Udin Jalil.
“Terbaik abang kita segak ni…terima kasih kanda Joshua Raj bawa sampai ke sana (Anfield). Kita pun mahukan kemenangan buat arwah Zara,” kata Mie Suhaimie.
“Biarlah dunia tahu apa yang sedang berlaku di sini (Malaysia), saudaraku. Yang pasti kamu tidak akan pernah berjalan sendirian (you will never walk alone),” komen Mba Adenan.
Walaupun Anfield diraikan dengan sorakan kemenangan, momen plakad solidariti itu mengundang rasa sebak apabila kisah kematian Zara Qairina kini diketahui dunia. – KOSMO! ONLINE