PETALING JAYA – Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Dr. Rozaimi Ramle dalam satu hantaran yang dimuat naik di platform Facebook menegaskan orang ramai untuk tidak memberi pandangan berdasarkan naratif peribadi berhubung kes tular membabitkan membabitkan kes arwah Zara Qairina Mahathir.
“Kita hendak kebenaran dan pembuli dihadapkan ke muka pengadilan. Bukannya kita telah ada keputusan sendiri dan memaksa keputusan itu berpihak seperti naratif yang kita inginkan,” ujarnya.
Menurutnya, beliau berhubung secara langsung dengan peguam keluarga Zara bagi mendapatkan maklumat tepat sebelum membuat sebarang hantaran di media sosial.
“Malah, ada status saya mengenai kes ini yang saya tunjukkan kepada peguam keluarga Zara terlebih dahulu sebelum disiarkan di media sosial,” jelasnya.
Tambahnya, ada segelintir pihak kurang senang apabila beliau berkongsi kenyataan pihak berkuasa yang tidak menepati naratif diinginkan netizen.
Terdahulu, Dr. Rozaimi pernah memuat naik status mengenai kes itu namun dikecam beberapa pihak yang mendakwa beliau menyebelahi satu pihak sahaja.
Beliau bagaimanapun menegaskan akan terus berpegang kepada prinsip mendapatkan kebenaran melalui proses undang-undang dan bukannya bersandarkan sentimen. – KOSMO! ONLINE.