fbpx
KEMATIAN Zulfarhan dan Zara Qairina mencetuskan gelombang simpati daripada masyarakat yang menentang sebarang bentuk budaya buli.

Luka buli yang tidak berdarah tapi membunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Inilah realiti tragis budaya buli yang merupakan satu jenayah jiwa yang masih subur di lorong sekolah, di asrama pelajar, di lorong gelap media sosial dan lebih menyedihkan di depan mata kita yang memilih untuk menutup telinga dan hati.

Kajian oleh Universiti Malaya (UM) dan Institut Kesihatan Mental Negara mendapati lebih 1 daripada 5 pelajar sekolah menengah di Malaysia pernah menjadi mang­sa buli, sama ada secara fizikal, emosi mahupun siber.

Daripada jumlah itu, hampir 30 peratus menunjukkan tanda kemurungan dan kecenderungan mencederakan diri. Mereka tidak mati dalam satu malam.

Mereka mati perlahan-lahan dima­mah ketakutan, dipendam rasa malu dan dibungkam oleh sistem yang didakwa lambat bertindak.

Buli bukan soal nakal atau terpaling buas. Ia adalah manifestasi kuasa yang disalahgunakan oleh pelajar yang mahu tunjuk hebat, oleh senior yang mahu rasa dominan, malah oleh sistem yang memberi ruang tanpa batas.

Hakikatnya, menurut Prof. Dan Olweus, pelopor kajian buli dari Norway, buli bukan hanya konflik, tetapi satu bentuk penganiayaan berulang yang bertujuan mengawal dan menakluk mangsa itu sendiri.

Dalam konteks Malaysia, buli bukan lagi isu terpencil. Laporan kes seperti Allahyarham Zulfarhan Osman, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang diseksa hingga maut, atau kes pelajar sekolah asrama penuh dari sebelah pantai timur yang digantung terbalik dan dipukul beramai-ramai membuktikan bahawa kita sedang menormalisasi keganasan dalam bentuk yang lebih licik dan sistematik.

Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Menterinya Fadh­lina Sidek mengulangi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara adil dan telus oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). KPM juga berjanji akan melaksanakan tindakan berlandaskan undang-undang selepas siasatan
selesai.

Suara ibu

Namun persoalannya, cukupkah hanya dengan janji dan siasatan, ketika jiwa yang hilang itu tidak mungkin dikembalikan?

Apakah Zara hanyalah angka dalam statistik, atau wajahnya akan menjadi permulaan kepada reformasi sebenar dalam sistem asrama dan penjagaan pelajar di seluruh negara?
Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim lain; tidak menzaliminya dan tidak mem­biarkannya dizalimi.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibu mangsa arwah Zara, Puan Noraidah Lamat meminta agar keadilan ditegakkan secara telus dan saksama. Pastinya, suara seorang ibu tidak boleh diabaikan dalam negara yang mengangkat nilai keluarga sebagai teras masyarakat.

Rasulullah SAW bersabda:
“Takutlah kamu akan doa orang yang dizalimi, kerana tidak ada hijab antara doanya dengan Allah.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tangisan ibu itu kini telah me­langit. Maka apakah pemegang kuasa di bumi ini akan menyambutnya dengan tindakan, atau hanya dengan simpati yang kosong?

Tetapi hari ini, berapa ramai guru, rakan pelajar, warden dan bahkan ibu bapa yang memilih untuk diam atas nama ‘tradisi’, ‘pengajaran’ atau ‘prosedur dalaman’?

Diam itu bukan emas dalam isu ini. Diam itu adalah belati yang membunuh perlahan-perlahan nyawa tidak berdosa yang akhirnya akan berkubur tanpa meninggalkan nesan.

Berdasarkan kajian, pelajar yang dibuli bukan sekadar ponteng atau trauma sementara.

Banyak kes menunjukkan mereka akhirnya menjadi depresif kronik, berputus asa dengan pendidikan, bahkan menjadi pembuli suatu hari nanti mengulang kitaran luka yang diwarisi.

Kajian dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Kanak-Kanak (UNICEF) Malaysia (2022) menunjukkan buli menjadi salah satu punca utama kegagalan pelajar dalam peperiksaan, kehilangan minat belajar dan pe­ningkatan kes cubaan bunuh diri dalam kalangan remaja.

Ia umpama bom atom yang membarah dalam diri menunggu masa untuk berlakunya ledakan yang sukar untuk dibayangkan.
Allah SWT merakamkan dalam al Quran:

“Dan sesiapa yang menyelamatkan satu nyawa, maka seolah-olah dia telah menyelamatkan seluruh manusia.”
(Surah al-Maidah, 5:32)

Justeru, menyelamatkan seorang pelajar dari dibuli bukan hanya menyelamatkan hidupnya tetapi masa depannya, keyakinannya, imannya, dan potensi dirinya untuk menjadi insan berguna kepada insan lain.

Perbaiki sistem

Sebanyak mana pekeliling, garis panduan dan dasar sifar buli dikeluarkan oleh KPM, ia hanya akan tinggal kertas berdebu jika guru tidak dilatih menangani buli dengan tegas dan penuh hikmah; jika warden hanya sibuk dengan kehadiran, dan jika ibu bapa hanya percaya semuanya akan baik-baik saja.

Reformasi harus berlaku. Pendidikan empati, literasi emosi, penglibatan kaunselor, dan tindakan tegas terhadap pembuli harus menjadi tunjang bukan hanya dalam program tahunan, tetapi dalam budaya sekolah harian. Sistem perlu membela ­mangsa, bukan sekadar melin­dungi reputasi institusi.

Wahai masyarakat, wahai guru, wahai pemimpin, tidakkah kamu mendengar jeritan Zara, Zulfarhan dan ribuan pelajar lain yang tidak mampu bersuara?

Mereka mungkin diam di hadapanmu, tapi jiwanya sedang berkecai.

Dan jika kita masih memilih untuk diam hari ini, kita mungkin sedang menyemai pembunuh masa depan dalam bentuk anak-anak kita sendiri seperti yang ditegaskan oleh Rasulullah
SAW:

“Setiap kamu adalah pemim­pin, dan setiap kamu bertanggungjawab atas apa yang kamu pimpin.” (Riwayat Bukhari)

Maka pimpinlah sekolah dengan kasih sayang, asrama dengan keselamatan, dan generasi muda dengan nilai keinsanan. Kerana satu kata kesat hari ini, boleh membunuh seribu impian esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN