KUALA LUMPUR – Kira-kira 100 mahasiswa berhimpun secara aman di pekarangan Parlimen hari ini bagi mengemukakan dua tuntutan kepada kerajaan berhubung kes kematian pelajar, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Antara tuntutan yang dikemukakan termasuklah melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan nasional khususnya berkaitan isu buli.
Selain itu, mereka juga menuntut agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Bebas Nasional bagi menyiasat kematian Zara Qairina serta semua kes buli yang melibatkan pelajar dalam tempoh 10 tahun terakhir.
Kordinator Sekretariat Perhimpunan, Mohammad Norhamdin Nordin berkata tujuan perhimpunan tersebut diadakan adalah sebagai respon kepada kebangkitan rakyat di Sabah.
“Ini bukan semata-mata soal seorang yang telah meninggal dunia, tapi bagaimana orang tersebut boleh ‘pergi’ dalam institusi pendidikan.
“Jadi kerisauan kita sekiranya isu ini tidak diambil perhatian oleh kerajaan maka institusi pendidikan yang ada itu tidak selamat untuk anak-anak. Sebab itu kita menuntut reformasi pendidikan, supaya ia lebih bersifat manusiawi,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Dalam perhimpunan tersebut, Sekretariat Solidariti Zara yang terdiri daripada sembilan gerakan mahasiswa daripada enam universiti berkumpul di Tugu Negara pada pukul 10 pagi.
Mereka kemudiannya berarak menuju ke pekarangan Parlimen bagi menyerahkan memorandum tuntutan tersebut kepada wakil Ahli Parlimen.
Kelihatan hampir 10 Ahli Parlimen turut hadir ke lokasi bertemu mahasiswa pada perhimpunan itu bagi menerima memorandum tuntutan tersebut.
Antaranya, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari.
Difahamkan, kesemua mahasiswa menjangkakan kehadiran Fadhlina Sidek untuk menerima memorandum tuntutan tersebut, namun setakat pukul 12 tengah hari tadi ‘bayang’ Menteri Pendidikan itu tidak kelihatan.
Sementara itu, Takiyuddin berkata isu tersebut mendapat perhatian khusus dalam kalangan Ahli Parlimen dengan banyak persoalan serta perbahasan telah dikemukakan.
“Justeru saya memohon Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memberi kerjasama sepenuhnya.
“Bersama-sama kita atas dasar kemanusiaan dan keadilan untuk menuntut keadilan bagi adik Zara,” katanya.
Allahyarhamah Zara Qairina, 13 yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE