PASIR MAS – Jenazah empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 33, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang dekat sini selamat dikebumikan di dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Mukim Kubang Bemban di sini pada pukul 12 tengah malam.
Jenazah Muhammad Faiz Nor Amran , 32, bersama dua anak, Muhammad Aryan Fattah, 5, dan Muhammad Ayden Fattah, 4, dan adiknya, Nor Aina Imra Nor Amran, 21, tiba di pekarangan surau Padang To’ La di sini pada pukul 10.40 malam.
Kira-kira 400 jemaah hadir menyempurnakan solat jenazah yang diimamkan oleh sepupu arwah Muhammad Faiz, Nor Alif Amran sebelum keempat-empat jenazah dibawa ke tanah perkuburan kira-kira pukul 11.12 malam.
Suasana sedih menyelubungi pekarangan tanah perkuburan dengan kehadiran lebih 500 orang termasuk ahli keluarga dan orang ramai untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan nahas yang mengorbankan empat sekeluarga di Kilometer 33, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 1 Gua Musang dipercayai berpunca daripada kereta dinaiki kesemua mangsa terbabas sebelum bertembung sebuah treler. – KOSMO! ONLINE