KUALA LUMPUR – Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) wajar dilantik sebagai warden asrama bagi menangani gejala buli di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan asrama harian.
Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor berkata, ciri-ciri dah keperibadian dimiliki veteran ATM mampu mengekang gejala buli dalam kalangan pelajar.
“Mereka (anggota ATM) dikehendaki bertugas selama 21 tahun dan bersara sekitar umur 40 tahun dan diberi pencen 50 peratus sahaja.
“Ini juga dapat membantu mereka selepas bersara,” katanya ketika Sesi Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rayat di sini hari ini.
Untuk rekod, Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah pun menyenarai pendek bekas pegawai tentera dan polis sebagai calon warden sepenuh masa untuk ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) terpilih.
April lalu, Mara dilaporkan akan memulakan pengambilan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas pegawai tentera dan polis bagi memperkukuh aspek disiplin serta membanteras kes buli dalam kalangan pelajar MRSM.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dipetik berkata, pelaksanaan inisiatif itu akan dimulakan secara projek rintis membabitkan beberapa MRSM terpilih bagi menilai keberkesanan pendekatan berkenaan. – KOSMO! ONLINE