KLUANG – Seorang lelaki berstatus suami dan mempunyai dua anak dicekup selepas disyaki berkhalwat dengan isteri orang di sebuah rumah di bandar ini, malam tadi.
Tindakan lelaki itu memanjat siling bagi mengelak dicekup pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bagaimanapun sia-sia apabila pihak berkuasa menemui tangga selain siling yang terbuka pada pukul 11 malam.
Dalam operasi itu, pasukan penguat kuasa JAINJ membuat pemeriksaan terhadap sebuah rumah milik wanita berusia 30-an susulan aduan yang diterima daripada orang ramai.
Menurut JAINS, pihaknya bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang mengetuk pintu selama hampir 45 minit, namun penghuninya enggan memberi kerjasama.
Katanya, sebaik pintu dibuka, seorang wanita muncul dan memberitahu dia tinggal seorang diri. Penguat kuasa kemudian menggeledah rumah tersebut sebelum menemui tangga dan siling yang terbuka.
Salah seorang anggota penguat kuasa memanjat siling dan menemui seorang lelaki berpakaian kemeja T putih dan berseluar hitam sedang menyorok lalu memintanya segera turun.-KOSMO! ONLINE















