PETALING JAYA – Polis masih menunggu bukti jelas berhubung dakwaan pelakon jelita, Sophia Albarakbah, yang mendakwa mengalami tekanan emosi akibat menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, keterangan pelakon tersebut sudah direkodkan susulan laporan yang dibuatnya sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan belum dapat diklasifikasikan di bawah mana-mana seksyen undang-undang kerana Sophia belum menyerahkan bukti kukuh seperti pautan atau maklumat yang mengaitkan pihak tertentu dengan ugutan atau kecaman diterimanya.
“Kita masih menunggu bukti-bukti yang dimaksudkan kerana setakat ini beliau hanya menyatakan dakwaan tanpa pembuktian yang jelas. Siasatan akan diteruskan selepas menerima maklumat tambahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan Sophia Albarakbah membuat laporan polis di Balai Polis Travers di atas dakwaan menjadi mangsa buli siber termasuk gangguan seksual selepas memenangi anugerah dalam sebuah acara hiburan baru-baru ini.
Menurut peguamnya, Aizat Izuan Shakeel, dari firma guaman Tetuan Aizat Izuan Shakeel, laporan polis tersebut merupakan jalan terakhir yang diambil Sophia kerana berasakan semua gangguan tersebut telah memberi impak terhadap kesihatan mental dan kerjaya seninya.
Sejak Ahad lalu, nama Sophia kembali menjadi topik hangat selepas momen tegang dengan Bella Astillah di pentas Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 ketika namanya diumum sebagai pemenang trofi Selebriti Feminin Terhangat yang disampaikan bekas isteri penyanyi Aliff Aziz itu. – KOSMO! ONLINE