KUALA LUMPUR – Hak penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) selepas ini dijangka akan diserahkan kepada Putrajaya ataupun diuruskan sepenuhnya Majlis Sukan Negara (MSN) selepas berakhir edisi 2028 yang berlangsung di Kelantan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya mungkin mempertimbangkan langkah tersebut bagi memastikan pemilihan sukan yang dipertandingkan pada masa hadapan menjadi lebih konsisten.
Justeru, beliau meminta ruang supaya pihaknya boleh membuat kajian berhubung perkara tersebut memandangkan setiap negeri penganjur ketika ini sering menyenaraikan sukan yang memberi kelebihan kepada mereka.
“Selepas (Sukma) Kelantan, akan tamat kitaran di mana semua negeri sudah menjadi penganjur. Memang negeri penganjur akan cari sukan yang mampu memberikan mereka kelebihan untuk mendapatkan pingat.
“Oleh itu, bermula selepas Kelantan, jawatankuasa sedang mempertimbangkan supaya Putrajaya atau MSN yang menjadi penganjur. Tidak ada lagi penganjuran oleh negeri supaya ada konsistensi sukan yang dipertandingkan.
“Beri kita ruang untuk kaji dan pastikan kesinambungan itu wujud. Ia bagi memastikan ada laluan untuk pembangunan atlet yang konsisten,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang turut dikenali sebagai Olympic House di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.
Majlis penuh bersejarah itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut disaksikan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Konsep baharu bagi penganjuran Sukma itu berada di dalam ‘radar’ selepas pengguguran beberapa jenis sukan termasuk silambam, muay thai dan petanque pada Sukma Selangor yang akan berlangsung tahun depan.
Sementara itu, Hannah meminta semua pihak menghormati keputusan penganjur dalam pemilihan sukan dipertandingkan selain mengakui ada perancangan untuk menganjurkan sukan yang tidak disenaraikan dalam Sukma.
“Kita bagi ruang serta menghormati negeri penganjur dan kita akan bincang berhubung penganjuran sukan bukan Sukma,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE