BUDAPEST – Lewis Hamilton menegaskan cintanya terhadap Formula Satu (F1) tidak pernah pudar, biarpun berdepan detik mengecewakan di Grand Prix (GP) Hungary hujung minggu lalu.
Pemandu Ferrari itu gagal melepasi pusingan kedua kelayakan (Q2) dan hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 sekali gus gagal meraih sebarang mata.
Bagaimanapun, Hamilton menafikan dia sudah hilang semangat terhadap sukan yang diceburinya sejak 2007.
“Tidak, saya masih cintakan perlumbaan ini, tapi apabila ada banyak benda di belakang tabir yang tidak menyenangkan anda memang akan cakap macam tu,” katanya.
Kekalahan di Hungary menyaksikan Hamilton kini menghuni tangga keenam keseluruhan dengan 109 mata, ketinggalan 42 mata di belakang rakan sepasukan, Charles Leclerc yang menduduki tempat kelima dalam carta kejuaraan.
Bagaimanapun, Ferrari masih kukuh di kedudukan kedua kategori pengeluar dengan 260 mata, di depan Mercedes (236 mata).
Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali tampil mempertahankan Hamilton, menyifatkan pemandu berusia 40 tahun itu sebagai permata yang masih memiliki nilai besar dalam sukan tersebut.
“Lewis (Hamilton) adalah atlet luar biasa. Walaupun lalui tempoh sukar, dia akan bangkit. Dia masih mahu kejar gelaran kelapan dan saya percaya dia akan kembali lebih kuat selepas cuti musim panas ini,” ujarnya.
Hamilton dijangka menggunakan masa rehat ini untuk menekan butang ‘reset’ sebelum saingan bersambung di Belanda hujung bulan ini. – AGENSI














