SIBU – Tiga remaja ditahan selepas aktif melakukan kegiatan mencuri kepala paip air jenis tembaga di sebuah kawasan perumahan di sini.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, tangkapan ke atas kesemua suspek dibuat susulan laporan yang diterima pada 1 Ogos lalu daripada seorang lelaki berusia 37 tahun berhubung kehilangan tiga unit kepala paip air di kediamannya di Jalan Hua Kiew.
Katanya, siasatan awal turut mendapati beberapa kes kehilangan kepala paip air turut dilaporkan di beberapa kediaman lain di kawasan Bukit Assek.
“Sehubungan itu, satu Task Force dibentuk untuk menangani isu ini. Pada 5 Ogos lalu kira-kira pukul 1.50 hingga 3.15 petang, tangkapan telah dibuat ke atas tiga suspek berumur antara 13 hingga 14 tahun di beberapa lokasi di sekitar bandar Sibu,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, polis turut merampas 29 unit kepala paip air jenis tembaga dianggarkan seberat tiga kilogram daripada suspek.
Kesemua suspek direman selama tiga hari hingga 8 Ogos ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau hendaklah didenda jika disabitkan kesalahan. – KOSMO! ONLINE














