KUALA LUMPUR – Ahli politik diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan khususnya melibatkan agensi kerajaan seperti Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, tindakan sesetengah pihak yang secara semberono menuduh Mitra gagal menjalankan tanggungjawab adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
“Saya rasa kelakar bila dengar tuduhan Mitra gagal. Tahun lepas saya pengerusi jawatankuasa petugas khas Mitra. RM100 juta telah dibelanjakan secara telus, berintegriti dan semua program diumumkan secara terbuka. Nama penerima pun dipaparkan.
“Paling mengecewakan apabila ada ahli politik yang kata dia hilang sabar dengan Perdana Menteri dan Pejabat Perdana Menteri. Itu kenyataan tidak siuman. Kegagalan sendiri jangan diletakkan atas bahu orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Surat Tawaran kepada Penerima I-BAP di Dewan Mahkota, SME Corp Malaysia, Kuala Lumpur Sentral, hari ini.
Ramanan turut memberi amaran keras kepada individu terbabit agar lebih berdisiplin dalam berkata-kata.
“Kita ahli politik. Kita kena fikir 100 kali sebelum bercakap. Jangan main sembur saja. Jangan sampai kita balas. Nanti malu sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE














