KLANG – Mayat dua beranak berusia tiga dan 41 tahun ditemui terapung di sekitar jeti Pulau Ketam di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan KamalAriffin Aman Shah berkata, berdasarkan maklumat daripada seorang lelaki berusia 56 tahun kira-kira pukul 7.30 pagi.
Katanya, pengadu yang juga penduduk setempat memaklumkan, terlihat kanak-kanak berkenaan terapung di hadapan jeti pulau itu dan kemudiannya berjaya membawa naik mangsa dibantu beberapa orang awam.
“Tidak lama kemudian, kelihatan seorang wanita juga didapati terapung di kawasan berhampiran dan juga telah dibawa naik ke jeti sama.
“Hasil pemeriksaan petugas kesihatan mendapati kedua-duanya telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, hasil pemeriksaan sekitar kawasan berhampiran jeti telah menemui sebuah beg berisi dokumen kedua-dua mangsa yang dikenal pasti sebagai dua beranak.
Tambahnya, hasil pemeriksaan awal dijalankan Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor mendapati tiada sebarang kesan cedera pada tubuh badan mangsa.
“Kedua-dua mayat itu telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.
“Setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dan polis telah membuka kertas dibawah mati mengejut,” katanya.
Tegasnya, punca kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Daerah ini ditalian 03-33762222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE