LONDON – Bekas bos Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone, menyarankan agar Lewis Hamilton menamatkan kontraknya lebih awal bersama Ferrari, selepas menyifatkan juara dunia tujuh kali itu sudah ‘penat’ dan tidak perlu lagi mengambil risiko untuk meneruskan perlumbaan.
Kenyataan itu hadir selepas Hamilton, 40, gagal menampilkan aksi terbaik pada sesi kelayakan Q2 dan menamatkan perlumbaan tanpa sebarang mata di Grand Prix Hungary baru-baru ini.
Kegagalan pada sesi kelayakan turut mencetuskan tekanan kepada bekas pemandu Mercedes tersebut dan meluahkan rasa kecewa sambil menyifatkan dirinya ‘tak berguna’ apabila dia hanya menamatkan saingan di tempat ke-12, jauh di belakang rakan sepasukan, Charles Leclerc yang berjaya meraih petak utama perlumbaan.
“Kalau saya jadi Lewis (Hamilton), saya akan minta Ferrari bayar keseluruhan kontrak dan berundur.
“Mereka (Ferrari) membawa masuk dia kerana mereka fikir dia boleh lakukan sesuatu. Tapi jelas ia tak menjadi. Jadi, kenapa tidak buka jalan? Ia boleh jadi penyelesaian yang baik untuk kedua-dua pihak,” kata Ecclestone.
Ecclestone berkata sudah tiba masa Hamilton berehat sepenuhnya daripada sukan permotoran dan fokus kepada fasa baharu dalam hidup.
“Dia sudah memiliki tujuh kejuaraan dunia dan bagi saya itu sudah cukup. Dia tak perlu lagi ambil risiko. Tak berbaloi jika dia akhirnya habiskan dua tahun terbaring kerana cedera parah.
“Hamilton masih berbakat, tapi ketika ini ramai pemandu baharu muncul dan hebat, bila dah sampai ke puncak, jalan seterusnya selalunya menurun. Mereka akan jadi penat. Lewis sudah penat,” ujarnya.
Hamilton menyertai Ferrari musim ini dengan harapan menghidupkan semula karier dan memburu kejuaraan dunia kelapan sebelum bersara. Namun, prestasi tidak konsisten dan kegagalan jentera Ferrari turut memberi kesan besar. – AGENSI













