KETIKA pelajar seusianya sibuk bermain gajet, Muhammad Hadif Mohd. Shamir memilih untuk menghafal ayat demi ayat al-Quran sehingga berjaya menamatkan Syahadah Ula pada usia 16 tahun.
Syahadah Ula adalah pengiktirafan tertinggi dalam bidang hafazan al-Quran yang menandakan seseorang itu telah berjaya menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran dengan sempurna dan berjaya melalui ujian hafazan dalam tempoh sehari dengan tidak melebihi 10 kesalahan.
Kisah kejayaannya meraih Syahadah Ula telah tular di pelbagai platform baru-baru ini.
Kejayaan luar biasa direkodkan oleh pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh, Batang Kali, Selangor itu apabila berjaya menamatkan Syahadah Ula dalam tempoh 18 jam 15 minit dengan hanya satu kesalahan bacaan.
Kecemerlangan remaja yang mesra disapa Hadif itu menjadikannya salah seorang pelajar yang berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk Al-Quran dengan kelulusan rasmi daripada institusi.
Biarpun ia bukan satu perjalanan yang mudah, namun bagi anak muda berjiwa tenang itu, setiap hela nafas ketika menuntut di Maahad Tahfiz Al-Fateh adalah saksi pengorbanan, doa dan cinta kepada kalam Ilahi.
Sementara itu, Hadif berkongsi rasa syukur kepada Allah SWT atas nikmat yang diberikan-Nya.
“Namun pada masa sama, hadir juga perasaan takut sekiranya saya jadi bangga diri selepas ini.
“Takut juga saya rasa tidak mahu lagi mengulang hafazan memandangkan Syahadah Ula ini adalah satu pencapaian yang besar,” ungkapnya membuka bicara bersama K-Remaja.
Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, proses Syahadah Ula bukan sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan beberapa peringkat.
“Maksimum kesalahan bagi peringkat hafazan adalah 10 kesalahan. Namun dalam salah satu peringkat, kesalahan saya adalah 11 iaitu terlebih satu (kesalahan).
“Ia membuatkan saya berputus asa kerana saya sudah berusaha, namun masih gagal,” katanya.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan tidak putus-putus memberikan semangat kepadanya.
Anak kelahiran Shah Alam itu memberitahu, rutin hariannya di sekolah adalah melakukan qiyam pada setiap pagi sebagai salah satu cara memperkukuhkan bacaan al-Quran.
Asalnya, dia bergelar hafiz pada usia 15 tahun, dan dijadualkan untuk meraih Syahadah Ula pada tahun yang sama.
“Namun, disebabkan saya hafiz pada hujung tahun, maka pihak sekolah memberi laluan kepada cuti sekolah dan penggal baharu bagi melancarkan proses Syahadah Ula,” katanya.
Sepanjang proses hafazan, Hadif memberitahu, dia belajar banyak perkara tentang diri sendiri dan kehidupan.

Jika dahulu, dia sering menganggap bahawa kegagalan sebagai sesuatu yang buruk, namun selepas itu pemikirannya mula berubah.
“Dalam akademik, saya adalah top performer dan boleh dikatakan saya jarang gagal.
“Justeru apabila saya gagal, saya melihatnya sebagai sesuatu yang teruk.
“Namun, menerusi pengalaman ini, Allah SWT telah membuka mata saya bahawa kegagalan itu bukan sesuatu yang buruk, bahkan ia menjadi kunci kepada kejayaan seseorang,” katanya.
Untuk makluman, penganugerahan Syahadah terbahagi kepada tiga kategori.
Peringkat tertinggi adalah Syahadah Ula atau dikenali Syahadah Ulya.
Sebelum mencapai tahap tertinggi itu, para penghafaz al-Quran perlu menempuhi Syahadah Thalisah dan Syahadah Thaniah.
Semasa di peringkat Syahadah Thalisah, para penghafaz al-Quran perlu mengambil masa tiga hari untuk khatam al-Quran iaitu satu hari diperuntukkan untuk menghabiskan 10 juzuk.
Sementara peringkat Syahadah Thaniah pula menuntut para pelajar membaca 15 juzuk al-Quran dalam sehari.
Apabila seseorang pelajar itu berjaya lulus kedua-dua peringkat awal tersebut, barulah mereka layak untuk menduduki ujian kelayakan Syahadah Ula.

Menariknya, Maahad Tahfiz Al-Fateh merupakan salah sebuah institusi tahfiz yang semakin dikenali di negara ini kerana pendekatan pengajian al-Quran secara sistematik dan holistik.
Sementara itu, ibu kepada Hadif, Nik Nurulhuda Nik Zainal Alam, 41, berkata, anaknya sudah menyatakan hasrat untuk bergelar hafiz sejak di bangku sekolah rendah lagi.
“Jika rakan seusianya yang lain banyak menunjukkan kecenderungan kepada akademik atau hafazan, namun Hadif pula seimbang kedua-duanya. Akademiknya bagus, hafazan juga baik.
“Justeru, apabila dia beritahu mahu bergelar hafiz, saya dan suami mencarikan sekolah untuknya. Akhirnya, dia memilih untuk masuk ke Maahad Tahfiz Al-Fateh,” katanya.
Nik Nurulhuda menambah, dia melihat sendiri kecekalan anaknya untuk bergelar hafiz.
Ujarnya, dia dapati Hadif selalu menjaga pemakanan dan tidur di atas lantai bagi memudahkannya bangun seawal pukul 4 pagi.
“Hadif tidak akan makan malam kerana menurutnya, jika dia makan berat pada malam hari, sukar untuk bangun pagi.
“Pukul 4 pagi adalah waktu tubuhnya segar untuk menghafal al-Quran.
“Kadangkala, apabila dia pulang ke rumah dari asrama, saya lihat dia akan tidur di atas lantai dengan berbantalkan lengan bagi memudahkannya bangun pada awal pagi,” kongsinya.
Berkongsi tentang sokongan yang diberikan buat anak sulungnya itu, Nik Nurulhuda berkata, dia banyak menyokong dari segi emosi bukan sahaja buat Hadif, malah untuk kesemua anaknya.
“Jika bapanya seorang yang tegas, saya pula banyak membantu anak-anak dari sudut emosi apabila sentiasa berlembut dengan mereka.
“Selain itu, kami sebagai ibu bapa juga menetapkan jadual dalam penggunaan gajet di rumah bagi memastikan anak-anak fokus terhadap pelajaran dan hafazan,” katanya.
Dalam pada itu, dia melihat perubahan positif dalam diri anaknya sepanjang proses bergelar seorang hafiz sehingga berjaya menamatkan Syahadah Ula.
“Hadif ini kalau ikutkan, dia mempunyai perwatakan yang agak keras.
“Namun, kini saya melihat dia sudah semakin matang dan tidak segarang dahulu. Bahkan pelajar-pelajar junior juga sering memberitahu saya, Hadif baik dan amat disenangi. Jadi, saya seronok dengan perubahan itu,” katanya.














