fbpx
Zara Qairina.

Laporan siasatan kes Zara Qairina pincang, tuntut inkues, bedah siasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Wujud kelemahan dan kepincangan serius dalam laporan siasatan awal yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.

Peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili ibu mangsa, Noraidah Lamat berkata, skop siasatan yang dijalankan pihak berkuasa itu adalah terlalu kecil dan terhad.

Menurut mereka, beberapa perkara utama ‘terlepas perhatian’ termasuk ketiadaan proses bedah siasat ke atas mayat Zara Qairina selain kegagalan polis mengambil pakaian dan barangan peribadi mangsa untuk dijadikan bahan bukti.

“Keterangan anak guam kami (Noraidah) berkenaan kesan lebam di belakang tubuh Zara hanya diambil pada 3 dan 4 Ogos, sedangkan laporan siasatan diserahkan kepada AGC seawal kelamrin di Sabah dan semalam di Putrajaya.

“Kami percaya polis tidak mempunyai material yang cukup untuk menyiasat secara efektif kerana mereka tidak mempunyai laporan bedah siasat,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Peguam-peguam itu melahirkan kebimbangan dengan penularan ‘plot twist’ di media sosial yang cuba mengaitkan kematian Zara, 13, akibat tekanan perasaan oleh ibunya memberi indikasi seolah-olah berlaku kebocoran fail siasatan.

“Kertas yang digelar ‘diari’ Zara menjadi tumpuan sehingga dilabel sebagai ‘bukti berjisim’.

“Jika kertas itu sebahagian daripada barang peribadi Zara yang diambil dari lokarnya di asrama oleh polis, itu bermakna seseorang telah membocorkan isi kandungan fail siasatan kepada umum bagi membina naratif jahat dan persepsi negatif,” ujarnya.

Sehubungan itu, satu surat rasmi dihantar kepada Peguam Negara pagi ini bagi merayu supaya kertas siasatan dikembalikan kepada PDRM dan siasatan dikendalikan pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman.

“(Ia turut meliputi) kubur Zara digali semula agar bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian serta inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah,” katanya.

Pasukan peguam itu berharap AGC dapat melaksanakan kuasa di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk mengarahkan majistret mengadakan inkues.

Dua peguam itu turut menyerahkan pakaian dan barangan Zara kepada polis hari ini sebagai komitmen penuh terhadap siasatan yang adil.

“Anak guam kami tidak mengharapkan kemenangan dalam siasatan. Dia hanya mahukan keadilan bagi anaknya. Dia sentiasa bersedia untuk membantu polis dalam siasatan,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail mengesahkan pihaknya sudah menyerahkan laporan siasatan berhubung kematian Zara Qairina kepada AGC.

AGC pula menyatakan pihaknya sedang meneliti laporan itu merangkumi semua aspek undang-undang bagi memastikan keputusan yang diambil berlandaskan undang-undang dan memenuhi setiap keadilan.

Sebelum ini, ibu Zara membuat laporan di Balai Polis Sipitang, Sabah selepas teringat kesan lebam pada belakang badan anaknya ketika memandikan jenazah remaja itu di Hospital Queen Elizabeth (HQE) I, 17 Julai lalu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar itu meninggal dunia pada 17 Julai selepas sehari menerima rawatan di HQE I.

Mangsa dipercayai terjatuh tingkat tiga asrama pada pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke hospital oleh pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI