fbpx
Beberapa wanita Malaysia kelihatan bersantai di atas kapal layar kayu di Labuan Bajo, Indonesia baru-baru ini.

Kapal layar kayu tarik orang Malaysia ke Labuan Bajo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELAYARAN selama dua hari satu malam menaiki kapal layar kayu merentasi Laut Flores ternyata memberi persepsi baharu kepada wanita berusia 23 tahun itu terhadap keindahan alam semula jadi yang terdapat di Labuan Bajo, Indonesia.

Manakan tidak, peluang belayar menaiki kapal layar kayu mengelilingi Labuan Bajo yang terletak di Nusa Tenggara Timur sudah lama diidamkan wanita itu memandangkan aktiviti tersebut semakin menjadi trend dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurut Tasneem Maisarah Azrul Hisham, pengalaman merentasi Laut Flores menaiki kapal layar kayu yang dipanggil ‘phinisi kayu’ itu disifatkan pengalaman berharga memandangkan peluang tersebut hanya boleh dirasai di beberapa lokasi di Indonesia termasuk Labuan Bajo.

Labuan Bajo ialah sebuah bandar nelayan yang terletak di hujung barat pulau besar Flores di wilayah Nusa Tenggara. Ia adalah ibu kota Kabupaten Manggarai Barat (Daerah Manggarai Barat), satu daripada lapan kabupaten yang merupakan bahagian pentadbiran utama Flores.

“Sebelum ini, jika bercuti di kawasan-kawasan pulau, kita hanya akan menetap di hotel dan menyertai aktiviti pantai menggunakan bot sahaja sebelum pulang pada sebelah petang.

“Namun, apabila berkunjung ke Labuan Bajo, pelayaran menaiki phinisi antara trend popular, sekali gus membolehkan pelancong merasai pengalaman bermalam di atas kapal layar kayu,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Sebagai maklumat, phinisi adalah jenis kapal layar tradisional khas Indonesia yang diperbuat daripada kayu dan berasal dari suku Bugis dan Makassar di Sulawesi Selatan.

Ketika ini, kapal layar yang diperbuat daripada kayu seperti jati dan kayu besi menjadi antara produk pelancongan terkenal di Indonesia khususnya di Labuan Bajo.

Mengulas lanjut, anak kelahiran Bukit Jelutong, Selangor itu berkata, meskipun pelayaran menggunakan kapal layar kayu kedengaran sedikit ‘janggal’ pada awalnya, namun tanggapan itu berubah tatkala menjejakkan kaki ke atas phinisi itu.

Katanya, peluang menaiki phinisi jenis Lamain Voyages 2 memberi pengalaman berharga apabila dia berpeluang menikmati keindahan Labuan Bajo dari perspektif yang lain.

“Sebenarnya, saya sedikit terkejut dan teruja apabila melihat fasiliti yang ada dalam phinisi kayu itu, semuanya lengkap seperti bercuti di hotel.

“Ia bukan sahaja menawarkan bilik tidur selesa, malah turut menyediakan ruang makan luas, tempat bersantai atas kapal selain kemudahan karaoke, bar minuman, pelayan dan makanan enak dimasak oleh chef berpengalaman.

“Konsepnya, pengalaman itu memang mahal selain sukar dirasai di Malaysia, malah saya difahamkan hanya beberapa lokasi di Indonesia yang menawarkan pelayaran phinisi itu,” katanya.

Pelbagai makanan juga boleh dinikmati di atas kapal.

Ketika ini, Labuan Bajo yang berada berdekatan Bali kini semakin menjadi tumpuan rakyat Malaysia selepas syarikat AirAsia membuka penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo pada 3 September lalu.

Sementara itu, eksekutif media sosial, Noor Ummi Najjiah Mohd. Sazali, 30, menyifatkan, pengalaman belayar di atas phinisi sebagai sesuatu yang perlu dirasai ramai.

Ini kerana, menurutnya, pelayaran phinisi bukan sahaja menawarkan pengalaman bermalam di tengah Laut Flores, malah turut menyediakan aktiviti sampingan menarik yang lain.

“Sepanjang dua hari satu malam belayar, kami bukan sahaja dibawa melihat keindahan landskap muka bumi Laut Flores, tetapi turut singgah di beberapa pulau yang menawarkan pemandangan menakjubkan.

“Antara pulau yang kami lawati sepanjang pelayaran itu termasuklah Pulau Kelor dan Pulau Rincha di mana pemandangan di situ sukar digambarkan dengan kata-kata, begitu indah,” katanya.

Kongsi wanita berasal dari Klang, Selangor itu, kru dan kapten kapal yang mesra juga menjadikan pengalaman belayar lebih bermakna di mana segala kebajikan dan makan minum penumpang dijaga dengan baik.

“Sepanjang belayar, saya tidak sempat berasa bosan atau lapar, makanan enak disediakan dari pagi hingga malam.

“Malah, ada juga minuman seperti jus atau kopi disediakan jika mahu bersantai menikmati pemandangan di atas kapal, ia sememangnya pelayaran ‘healing’ terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, menurut pemandu pelancong yang bertugas di Lamain Voyages 2, Anchycha Asmann, pelayaran phinisi dilihat semakin menjadi trend di Labuan Bajo selepas mendapat permintaan tinggi daripada pelancong.

Dalam konteks ini, katanya, permintaan belayar dari Labuan Bajo ke beberapa destinasi popular seperti Pulau Padar dan Pulau Komodo bukan sahaja digemari pelancong antarabangsa, malah turut melibatkan rakyat tempatan.

“Pakej ditawarkan untuk phinisi Lamain Voyages 2 bagi pelayaran selama dua hari satu malam ialah sekitar RM1,600 seorang termasuk makan dan minum serta kelengkapan lain seperti aktiviti snorkeling dan bot perantara.

“Selain itu, seramai tujuh orang kru juga akan bertugas bagi memastikan segala keperluan penumpang terjaga yang mana bagi setiap phinisi mampu memuatkan sehingga 16 orang,” jelasnya.

Katanya, pengalaman belayar bersama phinisi perlu dirasai oleh setiap pelancong yang berkunjung ke Labuan Bajo, seterusnya berupaya melihat keindahan Nusa Tenggara Timur dari sudut yang lain.

Katanya, permintaan terhadap pakej pelayaran menggunakan phinisi juga semakin meningkat dalam kalangan pelancong selepas AirAsia menawarkan penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Labuan Bajo.

“Sebelum ini, jika ada rakyat Malaysia mahu ke Labuan Bajo, mereka perlu transit di Jakarta atau Bali terlebih dahulu sebelum terbang ke sini, masa agak panjang dan kos lebih tinggi.

“Namun, apabila ada penerbangan terus ke Labuan Bajo dari Kuala Lumpur, jumlah pelancong Malaysia dilihat semakin ramai lebih-lebih lagi bagi menikmati pelayaran phinisi di Laut Flores,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN