KOTA BHARU – Enam lelaki yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Jalan Kebun Sultan di sini pada 23 Mei lalu akhirnya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, semua suspek yang berusia 20 hingga 30-an itu kemudian ditahan pada pukul 3.30 petang untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, mereka direman empat hari bermula hari ini hingga 3 Ogos bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang tular di laman sosial pada 28 Mei lalu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata di tempat awam,” katanya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, polis memburu tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di Jalan Kebun Sultan, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, tiga individu terbabit ialah Weng Kok Choo, 58, beralamat di Jalan Kebun Sultan di sini S. Saravanan Kumar dan S. Kumaresan yang masing-masing berasal dari Sungai Pelek, Selangor.
Terdahulu, polis menyiasat kes sekumpulan lelaki yang terlibat dalam satu pergaduhan di Jalan Kebun Sultan, di sini selepas tular video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut di media sosial.
Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4.27 pagi itu pada 23 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE