KLANG – Enam penyamun berparang kini diburu polis selepas aksi jenayah mereka berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) sebuah kedai snuker di Kapar, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, semua suspek lelaki tempatan berkenaan berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM823.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan pihaknya tiga daripada suspek telah memasuki premis itu manakala tiga lagi menunggu di luar bersama tiga buah motosikal.
“Insiden tersebut berjaya dirakam CCTV. Semua suspek melarikan wang tunai berjumlah RM823. Usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru katanya, sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Daerah ini ditalian 03-32912222 atau balai polis terdekat.
“Polis menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 52 saat di aplikasi TikTok menunjukkan suspek memakai topi keledar dan berparang memasuki kedai snuker itu.
Semasa kejadian terdapat beberapa pelanggan sedang bermain snuker di premis tersebut. – KOSMO! ONLINE
@razak445Snooker kapar 30/7/2025