SEREMBAN – Taman Tasik Seremban bakal kembali meriah apabila Cabaran Ngail Nismilan 2025 menghimpunkan ratusan kaki pancing dari seluruh negara pada Ahad ini.
Pertandingan yang dinanti-nantikan ini kembali mewarnai kalendar pelancongan selepas dua tahun tidak dianjurkan dan akan berlangsung dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Ia dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dengan kerjasama NS Events serta mendapat sokongan penuh daripada Tourism Malaysia bersempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
Menurut Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali, penganjuran acara ini bukan sekadar pertandingan memancing, malah menjadi wadah memupuk hubungan kekeluargaan, mempromosikan gaya hidup sihat serta menyemarakkan pelancongan berasaskan komuniti.
“Tahun ini tumpuan utama diberikan kepada cabutan bertuah berupa dua keping emas, masing-masing bernilai RM5,000. Jumlah keseluruhan bernilai RM11,000 ini pasti menjadi rebutan kaki pancing yang bertuah,” katanya.
Selain cabutan emas, pertandingan memancing ini turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM11,000 menerusi konsep ‘Hadiah Sapu Bersih’, termasuk RM4,000 untuk juara, RM1,000 bagi tempat kedua dan RM500 untuk tempat ketiga. Hadiah wang tunai juga ditawarkan sehingga ranking ke-100 sebagai insentif kepada semua peserta.
Yuran penyertaan hanya RM40 bagi satu joran dua mata.
Pertandingan ini terbuka kepada semua spesies ikan yang berjaya dipancing, termasuk patin, rohu, tongsan, lampam, tilapia, keli, puyu dan baung menjadikan saingan lebih terbuka dan adil buat semua peserta.
Pendaftaran peserta boleh dibuat di lokasi pertandingan pada Sabtu 2 Ogos dari pukul 3 petang hingga 7 malam, manakala pada hari pertandingan, kaunter pendaftaran akan dibuka dari 6.30 pagi hingga 10 pagi.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi urus setia di talian 013-266 1077. – KOSMO! ONLINE