KUALA LUMPUR – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung hantaran fitnah dan berunsur provokatif terhadap pelakon dan penyanyi lelaki terkenal sebelum merujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner, Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, keterangan empat saksi termasuk pelakon dan penyanyi lelaki telah diambil.
“Kertas siasatan ini sedang dilengkapkan dan akan dirujuk pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
“Kita (polis) serah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengenal pasti pemilik akaun media sosial ‘threads’ yang membuat hantaran fitnah dan berunsur provokatif itu,” katanya selepas sidang akhbar di sini, hari ini.

Sebelum ini, pelakon dan penyanyi terkenal itu membuat laporan polis berhubung satu hantaran fitnah dan berunsur provokatif yang didakwa dimuat naik di platform media sosial ‘threads’.
Polis menerima laporan dibuat artis lelaki terbabit pukul 4.12 petang, pada 18 Julai lalu.
Laporan polis itu dibuat susulan beliau tidak berpuas hati berhubung hantaran dibuat pemilik akaun aplikasi thread yang didakwa mengandungi unsur fitnah, provokasi dan hasutan yang disebarkan secara umum.
Kes dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.- KOSMO! ONLINE