KUALA LUMPUR – Harapan untuk menyaksikan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong kembali menyerlah dalam acara 10 meter (m) platform individu pada Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura kekal samar apabila status penyertaannya masih belum diputuskan.
Pandelela semalam menarik diri daripada acara 10m platform seirama wanita selepas hanya sempat melakukan dua terjunan bersama penerjun muda, Lee Yiat Qing akibat kecederaan bahu yang berulang.
Menurut pengarah teknikal terjun kebangsaan, Yeoh Ken Nee, keputusan Pandelela beraksi atau tidak hanya akan ditentukan berdasarkan pemerhatian fisioterapi sebelum saingan.
“Pandelela mengalami kecederaan bahu semasa sesi memanaskan badan sebelum kejohanan. Untuk acara individu kami masih perlu lihat keadaan bahunya. Buat masa ini, semuanya diserahkan kepada pihak fisio,” katanya.
Kecederaan tersebut menamatkan kemunculan sulung Pandelela-Yiat Qing di pentas dunia, selain menjadi penampilan pertama buat penerjun muda berusia 17 tahun itu dalam karier antarabangsa di peringkat senior.
Mengulas suasana kem negara selepas insiden tersebut, Ken Nee mengakui tiada keperluan untuk terlalu kecewa kerana majoriti skuad dibarisi atlet muda yang masih menimba pengalaman.
“Tak boleh nak komen sebab dua terjunan pertama dia (Pandelela) masih sempat buat. Tak ada apa yang perlu disedihkan kerana 60 peratus pasukan terdiri daripada penerjun muda yang belum berpengalaman.
“Bagi atlet senior, mereka dah cuba yang terbaik dan kita hanya boleh terima keputusan yang telah ditunjukkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ken Nee turut menitipkan nasihat kepada Yiat Qing menjelang penampilan individu pertamanya selepas pengalaman mendebarkan dalam acara seirama bersama Pandelela.
“Ini kejohanan dunia pertamanya, nasihat saya adalah belajar daripada yang terbaik dan kembali lebih kuat,” katanya ringkas. – KOSMO! ONLINE