LIGA Bola Sepak Amatur (AFL) mengesahkan aksi melibatkan Kelantan Red Warriors (KRW FC) dalam dua perlawanan Liga A1 Semi-pro yang akan membuka tirainya pada Sabtu ini terpaksa ditangguhkan.
Pengerusi AFL, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, kelonggaran tersebut diberikan kepada skuad KRW FC bagi menyelesaikan isu sekatan pendaftaran pemain yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) minggu lalu.
Katanya, KRW FC telah disekat daripada mendaftarkan semua pemain sehingga 14 Ogos ini depan sekali gus tidak boleh beraksi pada dua perlawanan awal musim ini membabitkan aksi menentang Selangor FC 2 (4 Ogos) dan kelab Korea Selatan, Seoul Phoenix (10 Ogos).
“Seperti yang kita sedia maklum, KRW FC telah terima surat daripada FIFA yang menyatakan mereka entiti yang sama seperti Kelantan FC sekali gus disekat mendaftarkan pemain hingga 14 Ogos depan.
“Memandangkan saingan Liga A1 Semi-pro sudah bermula minggu ini, Ahli Lembaga Pengarah AFL bersetuju memberi kelonggaran kepada KRW FC untuk ditangguhkan dua perlawanan yang bakal mereka hadapi awal bulan depan.
“Ini kerana mereka tiada pemain yang boleh diturunkan sehinggalah isu diselesaikan. Sementara itu, AFL pula masih membuka pendaftaran hingga 25 Ogos depan dan tiada masalah buat mereka beraksi selepas itu.
“Buat masa ini, pihak AFL alu-alukan kedatangan KRW FC kerana mereka sudah buat persiapan yang bagus dengan menandatangani kontrak jurulatih dan pemain lebih awal.
“Jadi kita berikan sedikit masa untuk mereka selesaikan segala perkara berbangkit,” katanya pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan FIFA telah menghantar surat tunjuk sebab rasmi yang mana salinannya sudah dimajukan kepada KRW FC pada minggu lalu.
KRW FC turut mengeluarkan kenyataan sedia untuk bekerjasama dengan pihak FIFA dan FAM bagi menyelesaikan isu tersebut dengan segera. – KOSMO! ONLINE