JEMPOL – Seorang lelaki tidak menyangka kehadiran sekumpulan anggota polis di Rompin, di sini membongkarkan kejadian bunuh melibatkan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Johor Bahru pada 24 Julai lalu.
Individu tersebut yang mahu dikenali sebagai Ali, 50an berkata, dia terkejut melihat ramai anggota beruniform tersebut melakukan siasatan ketika melalui lokasi tersebut.
“Bila sampai tak boleh nak dekat (hampiri lokasi kejadian). Ada tali warna berwarna kuning dipasang, mungkin kes lain.
“Sepanjang lebih 50 tahun saya menetap di sini, ini kali pertama berlaku kejadian seperti ini (bunuh),” katanya.
Dua hari lalu, polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan kanak-kanak lelaki, M. Tishant, 6, yang dilaporkan hilang ketika berada di sebuah kopitiam di Taman Bukit Indah, Johor Bahru. Kehilangan Tishant dilaporkan oleh bapanya kira-kira 2.15 pagi.
Pada pukul pukul 4.30 petang tadi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol menerima maklumat mengenai penemuan mayat kanak-kanak di Rompin. Tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki berusia 36 tahun oleh Polis Johor. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan.-KOSMO! ONLINE.