FRANCORCHAMPS – Pelumba McLaren, Oscar Piastri terus melebarkan penguasaan selaku pendahulu pendahulu gelaran dunia Formula Satu (F1) selepas memenangi Grand Prix (GP) Belgium di Litar Spa-Francorchamps malam tadi.
Meskipun memulakan perlumbaan di petak kedua, namun pelumba Australia itu berjaya memintas rakan sepasukan, Lando Norris bagi memimpin sebahagian besar saingan sebelum melintasi garisan penamat sebagai pemenang.
Piastri kini memiliki kelebihan 16 mata ke atas Norris dalam carta kejuaraan dunia dan perebutan dijangka berlangsung sengit antara kedua-dua pelumba itu menjelang baki perlumbaan musim ini.
“Secara jujur, saya sangat kecewa dengan prestasi sendiri pada sesi kelayakan sebelum ini. Bagaimanapun, saya tidak sangka bahawa bermula di petak kedua bukanlah satu permulaan yang teruk.
“Saya berjaya menguruskan hampir keseluruhan perlumbaan dengan cukup baik walaupun agak bergelut pada penghujung saingan. Mungkin penggunaan tayar sederhana tidak sesuai pada lima pusingan terakhir,” katanya.
Pada ketika ini, Piastri gah berada di puncak saingan apabila mengumpul 266 mata diikuti Norris yang memiliki 250 mata, manakala kedudukan ketiga diisi pelumba Red Bull, Max Verstappen dengan 185 mata.
Sementara itu, Norris mengakui rakan sepasukannya menampilkan aksi yang cukup baik sepanjang perlumbaan selain memberikan tentangan sengit kepadanya, lebih-lebih lagi ketika di awal saingan.
“Oscar (Piastri) melakukan tugas yang cukup baik di awal perlumbaan, jadi saya tidak mahu cakap apa-apa. Sudah tentu saya mahu menang tetapi Oscar layak untuk mendapatkannya,” ujarnya. – AGENSI