PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki yang meminta anak kandungnya untuk berhenti menghantar mesej beberapa minit sebelum anaknya itu memasuki dewan peperiksaan mencetuskan kemarahan orang ramai.
Perkongsian oleh Rinna di Threads itu memaparkan tangkap layar mesej diterima daripada bapanya sendiri, meminta agar dia tidak lagi mengganggu atau menghantar sebarang mesej.
Dalam mesej yang sama, lelaki berkenaan turut menjelaskan bahawa dia telah menyekat nombor telefon anaknya sebelum ini dan menganggap mesej yang dihantar hanya menyusahkan kerana dia mempunyai komitmen lain yang lebih penting.
“Sebelum masuk dewan peperiksaan pada pukul 2 petang, ingat dapat mesej nak ucap selamat berjaya ke apa rupanya suruh kurangkan beban dia,” kongsinya dalam hantaran tersebut.
Menerusi tangkap layar sama turut kelihatan mesej yang dihantar menggunakan nombor telefon bapanya, namun dipercayai ditulis oleh ibu tirinya yang turut meminta agar dia tidak lagi mengganggu lelaki itu.
Tinjauan Kosmo! Di ruangan komen mendapati orang ramai menyelar tindakan lelaki tersebut yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
“Bila awak sudah kerja nanti, kalau ayah minta tolong, jangan bagi apa-apa. Biarkan dia ye, sakitnya hati baca. Bapa jenis apa lah. Mak tiri itu memang tidak guna tapi bapa kandung pun sama naik,” kata Jujuzamree.
“Memanggil seorang anak yang diamanahkan daripada Allah sebagai satu beban, dia sememangnya tidak layak untuk menggelar dirinya sebagai ayah,” balas Izzatshafiq95.
Dalam pada itu, rata-rata netizen menyarankan agar wanita tersebut tidak lagi berhubungan dengan individu yang memberi kesan negatif terhadap emosinya, terutamanya ketika sedang menduduki peperiksaan.
“Teruskan sekat sahaja orang macamini. Awak fokus sahaja pada peperiksaan, abaikan semua langau-langau ini. Mereka sengaja buat macamni supaya awak tak fokus nak jawab periksa, Saya doakan awak berjaya dunia akhirat,” ujar Lea Quzandrea.
“Awak kuat sangat tau, tidak mengapa teruskan sekat sahaja nombor mereka berdua, kalau awak perlukan sebarang pertolongan beritahu sahaja akak,” kata Hayfaamira. -KOSMO! ONLINE