KULIM – Pihak pembangkang dicabar untuk mengemukakan cadangan dasar ekonomi dan kebajikan yang dirasakan lebih baik berbanding inisiatif dibuat Kerajaan Madani pada sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Parlimen, minggu depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peranan sebagai blok pembangkang perlu dilaksanakan dengan lebih bertanggungjawab menerusi cadangan dasar alternatif itu sebagai usaha meringankan kos sara hidup rakyat.
“Saya kata sekarang ini terpulang kepada pihak pembangkang baliklah. Mereka ada pilihan sama ada nak berhimpun setiap minggu atau nak fokus tugas dan tanggungjawab mereka.
“Apa tanggungjawab mereka sebagai blok pembangkang? Kalau tak setuju dasar kerajaan dalam soal ekonomi, soal kebajikan, mereka mesti tunjukkan dasar ekonomi dan dasar kebajikan (yang dirasakan lebih baik),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-53 Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Dataran Kulim hari ini.
Kata beliau, pembangkang sepatutnya mengambil langkah itu bagi membolehkan rakyat membuat perbandingan ke atas dasar tersebut.
“Misalnya, kerajaan dari segi dasar kebajikan ini katakan nak kurangkan kos sara hidup rakyat, tol tak dinaikkan, bantuan tunai rakyat (Sara) ditambah, harga minyak (RON95) akan diturunkan enam sen. Itu dasar Kerajaan Madani untuk tangani isu kos sara hidup.
“Pembangkang tak setuju, dia suruh kita turun. Jadi bentang kepada rakyat apa dasar kebajikan supaya rakyat nilai. Dia kata enam sen tak cukup, pembangkang ada dasar lebih baik, (cadang) akan turunkan 60 sen. Sebutlah mekanisme semuanya. Sebutkan, biar rakyat buat perbandingan,” ujarnya.
Menurut Saifuddin, persaingan politik seharusnya berlaku secara sihat iaitu dasar lawan dasar, bukan dipenuhi dengan fitnah dan maki hamun.
“Yang kita nak elak adalah ketika kerajaan tunjuk program, tunjuk dasar dan nampak kebaikan kepada rakyat, dia (pembangkang) tak ada balasan atau cadangan alternatif, sebaliknya penuh dengan makian, fitnah dan maki hamun. Kita tolak politik kotor macam ini dan cabaran ini saya berikan kepada pihak pembangkang.
“Kita nak tengok RMK-13, rancangan Kerajaan Madani untuk lima tahun akan datang, akan dibentangkan pada minggu depan di Parlimen. Peluang terhidang dan terbentang luas kepada blok pembangkang, tampilkan dasar-dasar dan biar rakyat tengok,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, beliau setakat ini belum menerima sebarang makluman daripada pihak polis mengenai laporan atau aduan mengenai Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka pada semalam.
Walau bagaimanapun, katanya, terdapat peserta yang membawa kanak-kanak dalam himpunan tersebut.
“Maksudnya peserta perhimpunan, mereka sendiri pun tidak tahu atau tidak diberitahu penganjur. Yang penting penganjur kata datang beramai-ramai, dia tak sebut jangan bawa anak bawah umur sebab itu salah daripada segi undang-undang,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Madani telah menterjemahkan bahawa kebebasan berhimpun yang dijamin dalam Perlembagaan untuk dinikmati oleh rakyat sudah terbukti dilaksanakan.
“Pihak keselamatan juga memberikan kawalan secara penuh tanggungjawab dan profesional. Yang ini saya dapati bahawa sementara pihak kerajaan telah pun benar-benar menerjemahkan komitmen secara terang-terangan, jaminan keamanan dan ketenteraman juga bukti dapat kita berikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE